SPRM sahkan tiada unsur rasuah dalam pemberimilikan kolam takungan banjir Kuala Lumpur

FOTO BERITA: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) komited memperkukuh langkah perlindungan terhadap baki kawasan kolam takungan banjir di ibu negara susulan sesi taklimat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung hasil siasatan pemberimilikan tanah melibatkan kawasan berkenaan kepada pemaju. (Gambar: UKK JWP)

Taklimat tersebut diketuai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman dan dihadiri Ketua Pengarah JWP, Muhammad Azmi Mohd Zain, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud selaku Datuk Bandar Kuala Lumpur serta Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datin Paduka Rahilah Rahmat.

Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, siasatan SPRM yang dimulakan sejak 2021 itu dibuat susulan laporan media dan penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2 berkaitan pemberimilikan enam kolam takungan banjir bagi tujuan pembangunan kediaman dan pembangunan bercampur.

Hasil siasatan mendapati tiada unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa berlaku dalam proses pemberimilikan tanah serta kelulusan Perintah Pembangunan yang diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pihak pemaju. SPRM turut menjalankan semakan dokumen, rakaman percakapan saksi termasuk pihak pemaju, selain melakukan lawatan ke tapak kolam takungan banjir terbabit. Juruukur yang dilantik juga mengesahkan tiada sebarang pencerobohan sempadan dilakukan oleh pemaju.

Bagaimanapun, SPRM mengingatkan agar semua kelulusan pembangunan pada masa hadapan mengambil kira fungsi dan risiko kawasan kolam takungan banjir serta melalui proses penilaian lebih ketat. Dalam pada itu, SPRM mengambil maklum langkah JWP menubuhkan pasukan petugas khas bagi mempercepatkan proses pewartaan kawasan hijau dan kolam takungan banjir sebagai usaha mengelakkan isu sama berulang.

Menurut kenyataan itu, perizaban kawasan kolam takungan banjir telah diluluskan sejak 19 Jun 1998, namun proses pewartaan tidak dilaksanakan ketika pemberimilikan tanah dibuat. Susulan itu, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2015 bersetuju membatalkan kelulusan perizaban berkenaan bagi membolehkan pemberimilikan tanah seluas 80 ekar kepada pemaju untuk pembangunan bercampur dengan premium berjumlah RM214 juta.

SPRM turut memuji tindakan DBKL yang menghentikan serta-merta semua kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dan pembangunan baharu di kawasan kolam takungan banjir. JWP menegaskan pihaknya akan mempercepatkan proses pewartaan baki 30 peratus kawasan lapang dan kolam takungan banjir yang telah diluluskan demi memastikan kesejahteraan warga Kuala Lumpur terus terpelihara.

Menurut Hannah Yeoh, sesi konsultasi bersama SPRM itu merupakan julung kali diadakan dan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh tadbir urus serta integriti pentadbiran Wilayah Persekutuan.