Tinggalkan busana mewah dan lencana kehormat, perutusan Aidiladha PM Anwar menyentuh hati

Perdana Menteri mengajak umat Islam menghayati pesanan kesederhanaan yang dizahirkan dalam ibadah haji, agar sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan gemerlapan tarikan kemewahan dunia yang sementara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia harus menjadi ‘jambatan utuh’ menuju ke akhirat, justeru jangan sekali-kali umat Islam terpesong daripada tujuan dan landasan masing-masing.

“Tatkala berihram dengan pakaian serba putih nan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan, kemurnian dan kesederhanaan.

“Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan.

“Demikian juga wuquf di Arafah, suatu perhimpunan raksasa tanpa mengira tingkat diri dalam masyarakat, darjat atau pangkat, lantas membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Allah SWT.

“Inilah tonggak kekuatan haji yang tidak tertandingkan, terpancar menerusi garapan yang mendalam, penghayatan dan hidupnya amalan kita,” kata beliau.

Anwar berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Aidiladha, yang dimuat naik di media sosial rasmi beliau, hari ini.

Teladan pengorbanan

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kebesaran serta kemuliaan Aidiladha pasti merujuk kepada teladan pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS atas ujian yang dihadapi serta memperlihatkan hikmah serta rahsia Allah SWT.

“Sementelahan, di sebalik ikhtiar dan usaha dilakukan kita dalam mendepani pelbagai cabaran mendatang, pasti ada pengorbanan yang harus menjadi prasyarat.

“Justeru, pengorbanan yang kita lakukan hari ini punya harganya yang tersendiri dalam pelbagai perkara sama ada hal ehwal pengurusan dan pengemudian ekonomi negara, bidang keilmuan serta lapangan keagamaan, punya penekanan dan manifestasi masa hadapan.

“Lantaran itu, berkorban dalam menongkah ujian hari ini demi masa hadapan lebih baik, ternyata menjadi rahsia Tuhan yang terdalam, demi masa depan keluarga, negara dan kehidupan selepas kematian juga,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa tanpa pengorbanan, hidup menjadi tidak bermakna dan gersang nilai.

“Sesuatu yang dikorbankan adalah sesuatu yang memang menjadi kemahuan manusia – harta, keluarga dan kedudukan.

“Oleh itu, nilai keikhlasan dan ketakwaan seseorang dapat diukur, yakni semakin berharga sesuatu yang ia korbankan, maka semakin besar pula ketakwaan dan natijahnya.

“Oleh yang demikian, hikmah menunaikan haji adalah antara kurniaan terbesar Ilahi kepada hamba-Nya. Kita mengenang manasik haji sebagai antara satu rukun Islam.

“Haji punyai maqasid kerohanian tersendiri yang bertujuan memadrasahkan jiwa manusia supaya lebih zuhud dan sederhana,” katanya.

Perdana Menteri turut mendoakan supaya jemaah yang kini berada di Tanah Suci, beroleh haji yang mabrur dan pulang ke tanah air dengan sejahtera.

BACA JUGA Selepas empat hari dicari, bomba dedah butiran penemuan jasad Nur Izzati