“Hab hiburan” KL jangan abaikan sensitiviti Islam dan Melayu, kata AMANAH
Parti AMANAH menegaskan sebarang usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab hiburan perlu menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, sensitiviti masyarakat Melayu serta keharmonian nasional.
Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan AMANAH berkata, isu itu tidak boleh dilihat hanya daripada sudut ekonomi, pelancongan atau komersial semata-mata tanpa mengambil kira asas budaya dan Perlembagaan negara.
Pengerusinya, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata pihaknya mengambil maklum pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berhubung cadangan Kuala Lumpur sebagai hab hiburan yang sedang diperkatakan ketika ini.
Menurut beliau, persoalan asas perlu diperjelaskan terlebih dahulu termasuk bentuk hiburan yang dimaksudkan, skala pelaksanaan, kandungan program serta garis panduan dan kawalan yang akan digunakan.
“Perkara ini penting supaya masyarakat tidak dibiarkan membuat tafsiran sendiri yang akhirnya boleh mencetuskan kekeliruan dan polemik,” katanya dalam satu kenyataan media.
Wan Anwar berkata, Kuala Lumpur sebagai ibu negara perlu kekal menjadi wajah Malaysia yang berdiri atas asas Perlembagaan, adab ketimuran dan sensitiviti majoriti rakyat walaupun dihuni masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Katanya, AMANAH berpandangan pembangunan seni, budaya dan hiburan masih boleh digerakkan secara sihat, kreatif dan progresif tanpa mengabaikan batas agama, budaya serta keharmonian sosial.
“Kebebasan berkarya tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab menjaga adab awam dan sensitiviti masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan biro berkenaan bersedia mengadakan pertemuan dengan pihak kementerian bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta bertukar pandangan secara profesional mengenai hasrat dan kesediaan Kuala Lumpur dalam perkara tersebut.
Menurutnya, dialog terbuka penting supaya pembangunan sektor hiburan tidak menjadi punca ketegangan, sebaliknya dibentuk dalam kerangka yang seimbang, bertanggungjawab dan menghormati kepelbagaian masyarakat Malaysia.
BACA JUGA “Bukan nak satukan Melayu?” – Marzuki dedah akal Hamzah kuasai Bersatu, PN