RENCANA | Semakin Pas serang DAP, semakin kuat DAP?
Setiap kali ada pihak mengkritik politik fitnah atau serangan berlebihan terhadap DAP, akan muncul tuduhan kononnya mereka sedang mempertahankan parti itu.
Namun hakikatnya, persoalan sebenar mungkin lebih besar daripada sekadar soal “siapa bela siapa”.
Ada pemerhati politik berpandangan, apa yang paling menguntungkan DAP hari ini bukan semestinya kempen parti itu sendiri tetapi cara Pas menyerang mereka.
Semakin agresif serangan terhadap DAP menggunakan sentimen kaum dan agama, semakin kuat juga penyokong parti itu berkumpul mempertahankan identiti politik mereka.
Dalam bahasa politik moden, Pas tanpa sedar telah menjadi “rally point” terbaik untuk DAP.
Sebab itu, walaupun Pas lantang menyerang DAP di pentas politik Semenanjung, mereka jarang benar mahu bertanding di kubu kuat DAP sendiri.
Di Sabah dan Sarawak, keadaannya berbeza.
Di Sarawak misalnya, pemimpin seperti Tiong King Sing pernah menewaskan calon DAP di kawasan majoriti pengundi Cina. Di Sabah pula, pengundi Cina tidak semestinya melihat DAP sebagai satu-satunya pilihan politik mereka.
Mengapa?
Kerana politik di Sabah dan Sarawak lebih bersifat terbuka, progresif dan inklusif. Politik identiti berasaskan ketakutan kaum atau agama kurang mendapat tempat di sana.
Bila sentimen perkauman dan agama tidak dijadikan bahan bakar politik utama, DAP juga kehilangan “musuh politik ideal” untuk mengukuhkan sokongan mereka.
Tetapi di Semenanjung, polanya berbeza sama sekali.
Politik agresif Pas terhadap DAP akhirnya mewujudkan satu kitaran yang saling menguatkan kedua-dua parti. Pas memerlukan DAP sebagai simbol ancaman untuk mengukuhkan sokongan Melayu-Islam mereka, manakala DAP pula mendapat manfaat apabila penyokong bukan Melayu melihat parti itu sebagai benteng terakhir menghadapi politik konservatif.
Akhirnya, kedua-dua parti menjadi semakin kuat hasil pertembungan yang berterusan.
Fenomena ini boleh diibaratkan seperti pemanasan global.
Semakin panas suhu politik, semakin ekstrem reaksi masyarakat. Polarisasi bertambah tajam. Penyokong menjadi semakin emosional. Ruang tengah semakin mengecil.
Dalam keadaan itu, yang paling terhimpit bukan Pas atau DAP.
Sebaliknya, politik pertengahan politik sederhana, progresif dan inklusif yang menjadi mangsa sebenar.
Politik jenis inilah yang selama ini menjadi asas kepada pembinaan negara pelbagai kaum yang aman dan stabil. Tetapi apabila politik masyarakat semakin terbahagi kepada dua kutub ekstrem, ruang untuk suara sederhana semakin sempit.
Akhirnya, negara bukan sekadar berdepan pertembungan parti politik, tetapi pertembungan identiti dan emosi yang semakin sukar dikawal.
Jika tiang seri politik pertengahan runtuh, kesannya bukan kepada satu parti sahaja tetapi kepada keseluruhan masa depan negara.
BACA JUGA PJ dah lama sesak, Hospital Awam 500 katil akhirnya dapat lampu hijau