Semangat Aidiladha satukan penduduk Hang Tuah Jaya dalam Program Korban MADANI

FOTO BERITA: Semangat gotong-royong dan penghayatan Aidiladha terus subur dalam kalangan masyarakat apabila Majlis Korban Perdana Kasih MADANI 2026 Peringkat Parlimen Hang Tuah Jaya berlangsung meriah di Rumah Awam Pantai Peringgit, DUN Pengkalan Batu, pagi tadi. Program yang diadakan dalam suasana sederhana namun penuh makna itu bertujuan menterjemahkan roh ibadah korban melalui pendekatan ihsan serta pengagihan rezeki kepada masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang. (Gambar: Parlimen Hang Tuah Jaya)

Dalam program tersebut, sebanyak 11 ekor lembu sumbangan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, YB Adam Adli Abdul Halim menerusi inisiatif Parlimen Hang Tuah Jaya telah ditumbangkan, dilapah dan diagihkan kepada penduduk sekitar Peringgit. Selain itu, 22 ekor lagi lembu sumbangan Perdana Menteri turut diagihkan ke beberapa kawasan lain dalam Parlimen Hang Tuah Jaya. YB Adam Adli turut meluangkan masa menyertai aktiviti gotong-royong bersama penduduk selain berinteraksi secara langsung dengan masyarakat bagi mendapatkan maklum balas, aduan serta meninjau keperluan infrastruktur setempat.

Program yang bermula seawal jam 8 pagi itu digerakkan oleh kira-kira 200 sukarelawan tempatan termasuk golongan wanita dan anak muda yang berganding bahu memastikan urusan korban berjalan lancar sehingga tengah hari. Kesepakatan para sukarelawan dan masyarakat setempat jelas menggambarkan semangat perpaduan serta kerjasama erat warga Hang Tuah Jaya yang terus diperkukuh menerusi program kemasyarakatan seperti ini. Menurut YB Adam Adli, kejayaan program tersebut merupakan hasil penyatuan tenaga dan komitmen semua pihak yang hadir membantu.

“Kemeriahan dan kejayaan program hari ini adalah hasil penyatuan tenaga 200 sukarelawan yang hadir. Hubungan erat dan kesepakatan inilah yang menjadi kekuatan dan identiti warga Hang Tuah Jaya dalam semua suasana sama ada perayaan mahupun apa-apa keadaan yang menggalakkan kita bergandingan,” katanya. Sesi pengagihan daging korban dan sumbangan kepada setiap isi rumah bermula jam 1.30 petang menerusi kaedah penukaran kupon serta edaran dari rumah ke rumah yang diselaraskan di beberapa kawasan termasuk Peringgit, Ayer Molek, Ayer Keroh dan Bukit Katil.

Sebagai rekod, inisiatif Qurban Kasih MADANI yang digerakkan di bawah seliaan Perdana Menteri turut dilaksanakan di seluruh negara sempena Aidiladha tahun ini. Bagi negeri Melaka sahaja, sebanyak 80 ekor lembu telah disumbangkan melibatkan agihan kepada setiap DUN, komuniti setempat, NGO, masjid dan surau. Majlis berakhir sepenuhnya pada jam 3 petang dengan pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan dan pihak terlibat atas komitmen yang diberikan dalam menjayakan agenda kebajikan serta memperkukuh perpaduan masyarakat di Parlimen Hang Tuah Jaya.