RENCANA | MB Johor buat kecoh je!

JASON YEW

Saya ada membaca kenyataan terbaru Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi berkenaan proses penyerahan Bantuan Kasih Johor (BKJ). Panjang lebar penjelasan diberikan. Siap diumumkan lapan langkah penambahbaikan selepas mempengerusikan mesyuarat khas.

Antaranya mahu menambah sehingga 35 kaunter semakan, melanjutkan waktu operasi sehingga 12 jam sehari, menyediakan ruang menunggu lebih selesa dan menggerakkan Southern Volunteers untuk membantu warga emas serta orang kurang upaya.

Nampak sibuk. Nampak rajin bekerja. Nampak seperti kerajaan negeri sangat prihatin.

Tetapi persoalan asasnya masih sama kenapa pada tahun 2026 kerajaan masih memilih kaedah lama untuk mengagihkan bantuan kepada rakyat?

Teknologi hari ini sudah terlalu maju. Sistem perbankan digital sudah lama digunakan secara meluas. Kerajaan Persekutuan sendiri berjaya melaksanakan bantuan seperti STR dan SARA secara terus kepada penerima tanpa perlu rakyat beratur panjang di dewan atau pusat agihan tertentu.

Kalau benar-benar mahu memudahkan rakyat, khususnya warga emas, suri rumah dan golongan uzur, penyelesaiannya amat mudah.

Buat sahaja pindahan terus ke akaun bank penerima.

Tekan butang. Duit masuk. Selesai.

Tidak perlu buka 35 kaunter. Tidak perlu kerah pegawai bekerja 12 jam sehari. Tidak perlu minta warga emas datang seawal pagi semata-mata untuk mendapatkan bantuan RM200 secara tunai.

Lebih penting, rakyat tidak perlu dipaksa menanggung keletihan dan kesesakan hanya kerana kerajaan mahu mengekalkan kaedah lama yang sudah tidak relevan.

Sebab itu ramai mula bertanya mengapa kerajaan negeri masih berkeras mahu gunakan sistem tunai?

Jawapan yang bermain di fikiran rakyat mungkin mudah.

Kalau bantuan dimasukkan terus ke akaun bank, tiada lagi acara penyerahan bantuan. Tiada lagi gambar pemimpin hulur sampul kepada rakyat miskin. Tiada lagi video media sosial menunjukkan kononnya pemimpin turun membantu rakyat.

Pendek kata, tiada lagi “political mileage”.

Akhirnya, rakyat yang menanggung kesusahan demi memberi ruang kepada publisiti politik.

Ironinya, selepas rakyat mula marah dan mengeluh, kerajaan mengadakan mesyuarat khas untuk mengumumkan “penyelesaian” kepada masalah yang sebenarnya mereka cipta sendiri.

Kemudian kerajaan tampil seolah-olah hero kerana berjaya menguruskan keadaan.

Padahal akar masalah masih tidak disentuh.

Sistem pembayaran masih sama. Kaedah lama masih diteruskan. Rakyat tetap perlu hadir beratur.

Yang berubah cuma jumlah kaunter dan tempoh menunggu.

Kasihan rakyat.

Sudahlah hidup makin mencabar, mereka dipaksa pula melalui proses yang memenatkan hanya kerana ada pihak lebih mengutamakan persepsi berbanding penyelesaian sebenar.

Kalau benar mahu membantu rakyat, mudahkan urusan mereka. Bukan tambah acara.

Kalau benar mahu tunjuk prihatin, hormati maruah penerima bantuan. Jangan jadikan mereka bahan latar untuk publisiti politik.

Akhirnya rakyat akan menilai sendiri ini bantuan untuk rakyat atau program untuk bergambar?

“Buat Kejoh Je.”

BACA JUGA Group WhatsApp ‘angel’ bawa padah, dedah remaja dibelasah?