LRT tergelincir: Tiada siapa kebal – Anthony Loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi amaran keras bahawa tiada pihak dalam pengurusan tertinggi Prasarana Malaysia akan terlepas daripada tindakan susulan insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin pagi tadi.
Dalam kenyataan tegas dikeluarkan hari ini, Anthony berkata insiden tersebut tidak boleh dianggap sekadar gangguan operasi biasa kerana melibatkan risiko keselamatan tinggi kepada penumpang dan petugas sistem rel awam.
Menurut beliau, tindakan keras termasuk pemecatan perlu dipertimbangkan terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai dalam melaksanakan tanggungjawab berkaitan aspek keselamatan operasi.
“Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan Prasarana tidak boleh meneruskan sikap ‘business-as-usual’.
“Tiada sesiapa dalam pengurusan tertinggi Prasarana akan terkecuali daripada akauntabiliti dalam insiden ini,” katanya.
Dalam kejadian pagi tadi, sebuah tren LRT dilaporkan tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin.
Bagaimanapun, kesemua 25 penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Susulan kejadian itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menubuhkan pasukan petugas khas bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung punca insiden tersebut.
Anthony turut mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengambil tindakan hukuman paling maksimum terhadap Prasarana selain membuka kertas siasatan serta-merta.
Menurut beliau, laporan lengkap siasatan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum didedahkan kepada umum.
Kenyataan keras Anthony itu dilihat memberi isyarat jelas bahawa kerajaan tidak mahu insiden keselamatan melibatkan pengangkutan awam dipandang ringan, lebih-lebih lagi selepas beberapa gangguan operasi rel sebelum ini turut mencetuskan rungutan pengguna.
BACA JUGA Group WhatsApp ‘angel’ bawa padah, dedah remaja dibelasah?