Lebih baik Bersatu rela hati keluar PN sebelum kena ‘sepak’ dengan Pas – Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, sikap Bersatu yang mahu menjadi dominan di dalam Perikatan Nasional (PN) menjadi punca hubungan parti itu dengan rakan sekutunya Pas menjadi semakin tegang.

Katanya, Bersatu merasakan parti itu lebih layak memegang jawatan penting seperti Perdana Menteri, dengan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin percaya bahawa beliau lebih sesuai memimpin PN kerana faktor parti komponen bukan Melayu.

Namun Puad berkata, Bersatu lupa bahawa parti itu banyak menumpang kekuatan Pas apatah lagi Pas adalah “parti akar umbi”.

“Sedangkan Bersatu bukan lahir dari akar umbi. 80% ahlinya berasal dari Umno. Tujuan asalnya ialah untuk menguburkan Umno dan Bersatu sebagai ganti. Tetapi matlamat itu gagal. Maka ada yang beranggapan perjuangan Bersatu telah berakhir.

“Sebab itu Bersatu terus berpecah. Dalam masa singkat ia melahirkan tiga parti serpihan iaitu Pejuang, Muda dan tidak lama lagi parti baru di bawah Hamzah,” katanya dalam satu ulasan di Facebook.

Beliau turut menjangkakan parti Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) pimpinan Mahiaddin akan bertembung dengan Perikatan Nasional (PN) yang kini diterajui Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Ada kemungkinan PRU ke 16, berlaku perlawanan antara IPR Mahiaddin lawan PN Dr Sam. 

“Pas akan sepak Bersatu daripada PN. Maka lebih baik Bersatu rela hati keluar daripada PN,” ujarnya.

BACA JUGA Group WhatsApp ‘angel’ bawa padah, dedah remaja dibelasah?