Konflik Asia Barat: AS, Iran capai persetujuan awal lanjut gencatan senjata 60 hari

Satu memorandum persefahaman (MoU) dilaporkan telah dipersetujui antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran untuk melanjutkan gencatan senjata selama 60 hari.

Kedua-dua negara dilaporkan telah memulakan rundingan ke arah menamatkan konflik secara kekal, menurut sumber berita Agensi.

Sumber dari AS bagaimanapun memaklumkan bahawa rangka kerja perjanjian tersebut masih memerlukan kelulusan muktamad daripada Presiden Donald Trump sebelum ia dapat dimeterai secara rasmi.

Sekiranya dimuktamadkan, langkah ini dilihat sebagai satu perkembangan besar selepas beberapa minggu kebuntuan dalam usaha diplomatik.

Namun, butiran lengkap mengenai perjanjian sementara itu masih belum didedahkan sepenuhnya.

Tidak jelas sama ada tempoh lanjutan 60 hari tersebut merupakan satu garis masa tegas untuk rundingan damai atau sekadar lanjutan kepada gencatan senjata sedia ada yang bersifat terbuka.