RM1 Trilion dah masuk, tapi apa yang turun kepada rakyat? Ini jawapannya

OLEH NAZRI HARIS

Aku bencilah sembang Malaysia dapat pelaburan sampai triliyun, tapi hidup aku sama aje. Pigi dah!

Ya. Betul. Malaysia cecah RM1 trillion jumlah dagangan dalam 4 bulan terawal ini. 

Angka RM1 trilion ini bukan sekadar nombor di atas kertas.

Merujuk laporan rasmi terbaru dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), ini adalah sejarah baharu negara.

Buat pertama kalinya, seawal Januari hingga April 2026, jumlah perdagangan kita mencatat angka sebesar ini.

Tapi bagi rakyat biasa, soalan yang bermain di fikiran mestilah;

“Apa kaitan angka MITI yang bertrilion ini dengan periuk nasi saya di rumah?”

Ceritera 1 

Eksport kita (apa yang kita jual ke luar) melonjak kepada RM609.31 bilion.

Import pula (apa yang kita beli) pada RM517.40 bilion.

Hasilnya?

Kita mencatatkan lebihan dagangan (trade surplus) sebanyak RM91.92 bilion.

Ini adalah lonjakan hampir dua kali ganda berbanding tahun lepas. Secara logik akalnya, bayangkan kita berniaga. 

Wang jualan yang masuk ke dalam poket jauh lebih besar daripada modal yang anda keluarkan untuk beli stok. Untung bersih kita berganda.

Di saat nilai mata wang negara jiran jatuh mendadak, wang asing yang masuk lebat inilah yang menjadi benteng pertahanan paling kukuh untuk menyokong nilai ringgit kita secara organik.

Ceritera 2 

Apa pula Malaysia jual sampai laku keras?

Jawapannya bukan lagi sekadar minyak atau kelapa sawit. Senjata utama kita sekarang adalah cip semikonduktor dan produk Elektrik & Elektronik (E&E).

Tatkala kuasa besar dunia sedang ‘berperang’ untuk membangunkan teknologi A.I dan pusat data, mereka sangat perlukan cip. Di sinilah letaknya kedudukan strategik kita. 

Fakta menarik: Eksport produk sokongan A.I kita sahaja menyumbang separuh daripada jumlah keseluruhan eksport negara.

Secara kasarnya, dunia terpaksa bergantung kepada kepakaran kilang di negara kita. 

Ceritera 3 

Pasaran ‘Plan B’ menjadi senjata rahsia

Siapa kata kita tak terkesan dengan Selat Hormuz? Ketegangan di Asia Barat dan keretakan rantaian logistik maritim global memberi kesan kepada semua negara.

Hebatnya lagi, kita tidak lagi letakkan semua telur dalam satu bakul.

Di sinilah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memainkan peranan besar di belakang tabir.

Hasil gerak kerja agresif MATRADE, kita tidak lagi hanya mengharap kepada pasaran tradisional.

Produk buatan tempatan kini laku keras menebuk pasaran baharu di benua Afrika, Amerika Latin, dan Eropah Timur.

Jadi, jika satu pasaran merudum atau berlaku krisis geopolitik di Asia Barat, ekonomi kita ada penampan dan ‘Plan B’ yang sangat teguh.

Ceritera 4 

“Sembang lebat sangat, habis tu kenapa poket aku tak rasa apa-apa?”

Ini persoalan yang sangat wajar. Rantaian ekonomi ini mengambil masa. Ia bukan magis. Nak rasa dividen ASB pun paling kurang setahun.

Dalam tiga tahun kebelakangan ini, data dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan kelulusan pelaburan sentiasa mencatat rekod peningkatan:

RM329.5 bilion (2023),

RM384.4 bilion (2024),

RM426.7 bilion (2025).

Namun, pelaburan berbilion yang diluluskan MIDA ini tidak turun dari langit terus ke dalam dompet kita. Ia perlukan proses.

Syarikat gergasi luar perlu membeli tanah, membina struktur kilang, membawa masuk mesin berteknologi tinggi, dan akhir sekali, baru mereka mula mengambil pekerja.

Proses ini kebiasaannya mengambil masa dua hingga tiga tahun. Dan sekarang, pada tahun 2026, kita mula menuai hasil daripada pelaburan besar tahun-tahun sebelum ini.

Kilang-kilang mega mula beroperasi dengan kapasiti penuh. Apabila peluang pekerjaan teknikal berpendapatan tinggi terbuka luas dan gaji mula mengalir, kuasa beli rakyat akan kembali merancakkan sektor peruncitan tempatan. 

Rantaian pelaburan bertahun-tahun inilah yang kini mula menjadi perisai ekonomi kita daripada ketidaktentuan global. Malaysia sedang memacu laju di landasan yang tepat.

Dirgahayu Malaysiaku.

BACA JUGA Fahmi sifatkan wartawan benteng maklumat sahih, pertahan integriti maklumat