Anthony Loke tinjau tapak tren tergelincir, laluan dijangka beroperasi semula 3 Jun depan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hari ini mengadakan tinjauan tapak di Stesen LRT Chan Sow Lin susulan insiden tren tergelincir melibatkan Laluan Ampang/Sri Petaling.

Dalam lawatan tersebut, beliau diberikan taklimat mengenai operasi pengalihan tren yang sedang dilaksanakan menggunakan kren khas sebelum kerja pembaikan landasan dimulakan.

Perkhidmatan LRT yang terjejas dijangka dapat beroperasi semula seawal Rabu depan selepas kerja pembaikan selesai dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga lima hari. 

“Sebagai langkah keselamatan, operasi tren akan dikawal pada kelajuan rendah bagi beberapa hari awal sebelum kembali beroperasi seperti biasa.

“Buat masa ini, tren dari Ampang menuju ke Sentul Timur akan berhenti di Stesen Chan Sow Lin sebelum berpatah balik ke Ampang bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan di lokasi kejadian,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Insiden yang berlaku semalam tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kesemua 25 penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat.

Kementerian Pengangkutan bersama Prasarana Malaysia Berhad akan terus memantau pelaksanaan kerja pembaikan serta memastikan keselamatan dan kelancaran perkhidmatan pengangkutan awam sentiasa menjadi keutamaan.

BACA JUGA RM1 Trilion dah masuk, tapi apa yang turun kepada rakyat? Ini jawapannya