Beli minyak guna MyKad orang lain? Anda boleh dipenjara 3 tahun

Kementerian Kewangan (MoF) mengeluarkan amaran keras kepada orang ramai susulan beberapa aduan berhubung penggunaan maklumat dan MyKad individu lain tanpa kebenaran bagi mendapatkan manfaat subsidi menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

MoF menegaskan perbuatan menggunakan atau memiliki MyKad milik orang lain tanpa kuasa yang sah merupakan satu kesalahan serius di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata pihaknya memandang serius dakwaan berhubung transaksi BUDI95 yang dilakukan menggunakan maklumat MyKad tanpa pengetahuan atau kebenaran pemilik sebenar.

“MoF memberi amaran keras supaya tiada pihak menggunakan nombor atau maklumat MyKad milik individu lain tanpa kebenaran bagi mendapatkan manfaat subsidi BUDI95,” menurut kenyataan itu.

Susulan aduan yang diterima, MoF turut mengarahkan syarikat peruncit minyak memperketatkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pengesahan MyKad bagi setiap transaksi BUDI95.

Menurut kementerian itu, sebarang transaksi manual tanpa pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu tidak dibenarkan kerana boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan subsidi dan pelanggaran integriti program.

Selain itu, syarikat minyak juga diarahkan menjalankan siasatan terhadap transaksi yang dikenal pasti melanggar SOP serta mengambil tindakan susulan terhadap stesen minyak yang terlibat.

MoF berkata beberapa langkah pembetulan turut dilaksanakan termasuk latihan semula kepada kakitangan barisan hadapan, pemaparan SOP di kaunter pembayaran dan pampasan sewajarnya kepada pelanggan yang terkesan, tertakluk kepada hasil siasatan.

Syarikat peruncit minyak juga diminta menghubungi pemegang MyKad yang terkesan bagi membincangkan penyelesaian lanjut.

Dalam masa sama, MoF menegaskan pihaknya akan terus memantau corak transaksi BUDI95 di seluruh negara dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan SOP atau cubaan menyalahgunakan subsidi bersasar.

Penerima BUDI95 digalakkan menyemak rekod transaksi masing-masing menerusi portal rasmi BUDI MADANI dan segera membuat laporan polis sekiranya mengesan sebarang transaksi yang tidak dibenarkan.

Bagi mereka yang terjejas, aduan boleh dibuat dalam tempoh 30 hari selepas kejadian kepada Pusat Khidmat BUDI MADANI dengan menyertakan laporan polis, salinan kad pengenalan serta senarai transaksi yang dipertikaikan.

MoF turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat MyKad dengan mana-mana pihak bagi tujuan transaksi subsidi dan hanya merujuk kepada saluran rasmi kerajaan untuk mendapatkan maklumat berkaitan program tersebut.

BACA JUGA Anthony Loke tinjau tapak tren tergelincir, laluan dijangka beroperasi semula 3 Jun depan