Gagal bayar sewa, pemilik bangunan mahu saman Pas Kubang Kerian?

Seorang pemilik bangunan mendakwa akan memfailkan saman terhadap penyewa yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Pas Kubang Kerian selepas mendakwa berdepan pelbagai masalah termasuk isu tunggakan dan pelanggaran syarat penyewaan.

Dalam satu hantaran di media sosial, Dr Haji Muhammad bin Haji Zolkifli mendakwa bangunan miliknya disewa oleh Ahli Parlimen Pas Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man namun hubungan penyewaan itu dikatakan berdepan pelbagai pertikaian sejak beberapa tahun lalu.

Menurut beliau, beberapa notis penamatan sewaan telah dikeluarkan sebelum ini susulan dakwaan kegagalan penyewa mematuhi tanggungjawab yang ditetapkan dalam perjanjian sewaan.

“Saya merupakan pemilik kepada bangunan ini.

“Ini merupakan bangunan yang disewa oleh Ahli Parlimen Pas Kubang Kerian.

“Bersama ini saya kepilkan juga surat-surat bahawa sewaan telah ditamatkan beberapa kali akibat keingkaran penyewa melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai penyewa sehingga menyebabkan saya menghadapi kesukaran dan kerugian,” katanya.

Beliau turut mendakwa sering bertolak ansur dengan penyewa terbabit, termasuk sebelum dan selepas beliau pulang dari Madinah, namun mendakwa perkara tersebut tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Dalam kenyataan sama, beliau mengkritik Pas dengan mendakwa parti itu menggunakan perjuangan Islam sebagai modal politik.

Malah beliau mendakwa tindakan penyewa berkenaan tidak selari dengan imej yang sering dibawa parti tersebut.

Menurutnya, saman pemula dijangka difailkan pada minggu hadapan bagi mendapatkan penyelesaian melalui saluran mahkamah.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pas Kubang Kerian atau pihak Pas berhubung dakwaan yang dibuat.

Susulan itu, semua dakwaan yang dikemukakan oleh pemilik bangunan berkenaan masih belum dapat disahkan secara bebas dan dijangka menjadi perkara yang akan ditentukan melalui proses perundangan sekiranya tindakan saman diteruskan.

Kes itu turut menarik perhatian pengguna media sosial selepas pemilik bangunan berkenaan berkongsi beberapa dokumen yang didakwa berkaitan notis penamatan sewaan dan urusan antara kedua-dua pihak.

BACA JUGA Tayangan filem Konspirasi ditarik penerbit – Finas