Oman mengalah selepas diugut Trump?
Oman memberi jaminan bahawa negara itu tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengenakan tol terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz, menurut Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent.
Menurut laporan Anadolu Agency, jaminan tersebut disampaikan oleh Duta Oman ke AS dalam perbualan telefon dengan Bessent pada Khamis.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas Presiden AS, Donald Trump mengeluarkan kenyataan kontroversi dengan memberi amaran bahawa Oman perlu “berkelakuan baik” atau berdepan tindakan keras Washington.
Bessent berkata kenyataan Trump bertujuan menegaskan kepentingan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz yang menjadi laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia.
“Saya bercakap dengan Duta Oman pagi ini dan beliau memberi jaminan bahawa tiada rancangan untuk mengenakan tol di selat tersebut,” katanya kepada pemberita di White House.
Menurut Bessent, wakil Oman turut menegaskan hubungan baik antara Muscat dan Washington yang telah terjalin selama lebih 200 tahun.
Beliau berkata pihak AS memaklumkan bahawa sebarang usaha mengenakan tol ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz tidak boleh diterima.
“Saya memberitahunya bahawa perkara itu tidak boleh diterima dan Oman tidak mahu mengambil risiko individu atau institusi kewangannya dikenakan sekatan,” katanya.
Oman sebelum ini memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam rundingan antara AS dan Iran.
Bagaimanapun, beberapa laporan media antarabangsa baru-baru ini mendakwa Muscat sedang bekerjasama dengan Tehran bagi membangunkan sistem tol untuk kapal yang menggunakan Selat Hormuz.
Cadangan itu dikatakan antara tuntutan utama Iran dalam rundingan bagi menamatkan konflik yang tercetus selepas serangan AS dan Israel terhadap negara itu pada 28 Februari lalu.
Oman mempunyai wilayah eksklaf di hujung selatan Selat Hormuz yang terletak bertentangan secara langsung dengan Iran, menjadikan negara itu antara pemain penting dalam isu keselamatan dan perdagangan di laluan strategik berkenaan.
Selat Hormuz mengendalikan sebahagian besar perdagangan minyak dan gas dunia, menyebabkan sebarang perubahan terhadap akses atau kawalan laluan itu sentiasa mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
BACA JUGA Tayangan filem Konspirasi ditarik penerbit – Finas