Hari ketujuh operasi cari Jaslinda, aset udara dan kamera hutan digunakan
Pencarian pendaki wanita, Jaslinda Saludin, yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah pada 23 Mei lalu diteruskan lagi pada hari ketujuh hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan dengan pengukuhan anggota penyelamat serta penggunaan aset udara bagi memperluaskan kawasan pencarian.
Dalam operasi yang dikemas kini pada jam 9.10 pagi, seramai 16 anggota pasukan penyelamat telah dihantar masuk ke lokasi menggunakan pesawat AW139.
Pasukan itu terdiri daripada enam anggota Pasukan STORM Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dua anggota Team Pelindung Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), lima anggota Jabatan Perhutanan serta tiga Malim Gunung Perhutanan (MGP).
Menurut JBPM Perak, mereka ditempatkan di Puncak Gunung Batu Putih dan lokasi winching point baharu di Kem Kantoi bagi memperkukuh operasi pencarian di kawasan berisiko dan sukar diakses.
Selain operasi darat, pasukan Pelindung Perhilitan bersama pasukan penyelamat turut akan mengambil cip kamera pengawasan yang dipasang di beberapa laluan hutan untuk tujuan semakan dan analisis rakaman. Langkah itu diambil bagi mengenal pasti sebarang petunjuk yang boleh membantu mengesan pergerakan mangsa.
Sementara itu, seramai 34 anggota yang telah berada dan bermalam di kawasan operasi sejak semalam terus melaksanakan pencarian di sektor yang telah ditetapkan. Dengan penambahan 16 anggota pagi ini, jumlah keseluruhan pasukan penyelamat yang terlibat dan berada di lokasi pencarian kini meningkat kepada 50 orang.
Operasi SAR bersepadu itu diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi dalam usaha mengesan mangsa secepat mungkin.
BACA JUGA ‘Ronnie Liu tarik balik tuduhan atau berdepan tindakan undang-undang’ – AMANAH Selangor