Malaysia terus unggul, raih pengiktirafan tertinggi Anugerah Labbaittom kali kelima

Malaysia sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai antara negara terbaik dunia dalam pengurusan haji apabila Lembaga Tabung Haji (TH) menerima pengiktirafan tertinggi daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menerusi Anugerah Labbaitom 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyifatkan pencapaian itu sebagai satu berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia serta bukti keupayaan negara dalam menguruskan urusan haji pada tahap terbaik.

Beliau berkata, pengiktirafan berprestij itu diberikan sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan TH dalam menguruskan jemaah haji Malaysia bagi musim Haji 1447H/2026M.

“Alhamdulillah. Setinggi-tinggi tahniah kepada pengurusan dan warga Tabung Haji, semua petugas haji kebajikan dan kesihatan, jemaah haji Malaysia, pendeposit TH dan semua rakyat Malaysia. 

“Terima kasih semua atas sokongan dan dokongan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kejayaan berterusan Malaysia dalam pengurusan haji bukan sahaja mencerminkan kecekapan sistem sedia ada, malah memperkukuh reputasi negara sebagai model rujukan utama dalam pengurusan jemaah haji di peringkat global.

Ini adalah pengiktirafan untuk tahun kelima berturut-turut.