Catur asah minda generasi muda, kata Najwan pada Kejohanan Kebangsaan PMX Trophy

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Kejohanan Catur Berpasukan Peringkat Kebangsaan 3rd National Open Team Chess Championship 2026 – PMX Trophy dirasmikan oleh YB Tuan Najwan Halimi, Exco Sukan Selangor di Dewan AEON Mall Shah Alam, Shah Alam, Selangor 30hb Mei 2026 (Sabtu)

Kerajaan Negeri Selangor terus komited menyokong pembangunan sukan catur apabila Kejohanan Catur Berpasukan Peringkat Kebangsaan 3rd National Open Team Chess Championship 2026 – PMX Trophy dirasmikan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, YB Tuan Mohd Najwan Halimi di Dewan AEON Mall Shah Alam.

Dalam ucapannya, Najwan berkata sukan catur bukan sekadar permainan, malah merupakan medium penting dalam membentuk pemikiran strategik, meningkatkan daya tumpuan serta mengasah kebolehan membuat keputusan dalam kalangan pemain, khususnya generasi muda.

Beliau menyifatkan perkembangan sukan catur di negara ini semakin memberangsangkan apabila semakin ramai ibu bapa memilih untuk mendedahkan anak-anak kepada permainan tersebut sejak usia muda sebagai satu bentuk pembangunan intelektual yang positif.

“Catur bukan hanya satu permainan tetapi satu elemen untuk menajamkan minda. Kita melihat semakin ramai ibu bapa menghantar anak-anak mengikuti latihan dan akademi catur kerana mereka sedar manfaatnya dalam membentuk pemikiran yang lebih tersusun dan strategik,” katanya.

Najwan turut berkongsi minat peribadinya terhadap sukan catur yang dimainkan hampir setiap hari melalui platform dalam talian, sekali gus menggambarkan bahawa sukan itu mampu menjadi aktiviti santai yang merangsang pemikiran dan mengurangkan tekanan.

Beliau turut memuji usaha Persatuan Catur Malaysia yang konsisten menganjurkan kejohanan dan program pembangunan atlet bagi memastikan bakat-bakat baharu terus diketengahkan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa sukan catur akan terus dipertandingkan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA), selain kategori catur elektronik atau online chess yang kini turut diberikan perhatian seiring perkembangan sukan elektronik negara.

“Selain catur secara tradisional, kita juga melihat potensi besar dalam catur digital atau dalam talian. Ini membuka lebih banyak peluang kepada pemain untuk mewakili negeri dan negara melalui platform yang berbeza,” ujarnya.

Najwan menegaskan bahawa Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dan Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan penuh terhadap sebarang inisiatif pembangunan sukan catur termasuk kerjasama bersama Persatuan Catur Malaysia pada masa hadapan.

Beliau kemudiannya menyempurnakan perasmian kejohanan tersebut dan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta sambil menyeru mereka agar bertanding dengan semangat kesukanan, disiplin serta menikmati pengalaman yang diperoleh sepanjang kejohanan berlangsung.

Kejohanan 3rd National Open Team Chess Championship 2026 – PMX Trophy menghimpunkan ratusan pemain catur dari seluruh negara, sekali gus menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu serta memperkukuh pembangunan sukan catur di Malaysia.
