Kenapa Malaysia sertai pakatan lindungi kabel bawah laut dunia? 

Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam landskap keselamatan serantau apabila menyertai inisiatif pertahanan infrastruktur bawah laut bersama 16 negara lain pada Persidangan Shangri-La Dialogue 2026 di Singapura.

Penyertaan itu dilihat sebagai antara pencapaian utama delegasi negara yang diketuai Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sepanjang persidangan keselamatan paling berprestij di rantau Asia Pasifik yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei.

Selain menyertai pelancaran Guiding Principles for Underwater Infrastructure Defence Exchanges (GUIDE), Malaysia turut mengadakan lebih 10 pertemuan dua hala dengan negara rakan bagi memperkukuh kerjasama pertahanan dan keselamatan.

Menurut Kementerian Pertahanan, penglibatan Malaysia dalam GUIDE mencerminkan komitmen negara melindungi infrastruktur bawah laut kritikal yang menjadi tunjang kepada keselamatan, ekonomi dan kesalinghubungan global.

“Penyertaan Malaysia dalam persidangan ini mencatatkan beberapa hasil signifikan termasuk pengukuhan hubungan pertahanan dengan lebih 10 negara rakan serta penyertaan dalam inisiatif keselamatan infrastruktur bawah laut bersama 16 negara,” menurut kementerian dalam satu kenyataan.

Sepanjang persidangan, Khaled mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dan pegawai kanan pertahanan dari Amerika Syarikat, Perancis, Itali, Kanada, Australia, New Zealand, Norway, Republik Czech, Qatar, Singapura dan Thailand.

Perbincangan tertumpu kepada usaha meningkatkan kerjasama pertahanan, perkongsian maklumat strategik termasuk Maritime Domain Awareness (MDA), serta koordinasi dalam menangani cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

Malaysia turut menggunakan platform tersebut untuk meneroka peluang kerjasama industri pertahanan bersama Embraer Defense & Security.

Perbincangan melibatkan potensi pemindahan teknologi, pembangunan keupayaan pertahanan negara serta usaha memperkukuh ekosistem industri pertahanan tempatan.

Dalam sesi pleno kelima persidangan, Khaled turut menyampaikan pendirian Malaysia mengenai kepentingan mengurus ketegangan serantau secara bertanggungjawab serta keperluan mematuhi undang-undang antarabangsa.

Beliau menegaskan kerjasama keselamatan global perlu diperkukuh bagi memastikan rantau Indo-Pasifik terus kekal aman, stabil dan makmur.

Persidangan kali ini dirasmikan oleh Presiden Tô Lâm yang menekankan kepentingan kepercayaan strategik, pengurusan persaingan secara bertanggungjawab, pemerkasaan ASEAN Centrality serta pematuhan kepada Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

Kementerian Pertahanan berkata penyertaan aktif Malaysia di Shangri-La Dialogue 2026 membuktikan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh diplomasi pertahanan dan kerjasama pelbagai hala demi menjamin keamanan serantau serta kedaulatan negara.

BACA JUGA Pecah rekod, RM1 sudah dapat 4,500 rupiah Indonesia