Umum tanding 28 dun Melaka, Muhyiddin berlagak ‘Nakhoda’ PN
Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mengundang kritikan apabila beliau didakwa masih bertindak seolah-olah memegang tampuk kepimpinan utama gabungan itu.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Yadzil Yaakub berkata Muhyiddin sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh Bersatu berbanding terus terlibat dalam apa yang disifatkannya sebagai “catur politik” yang tidak berkesudahan.
Menurut beliau, parti itu perlu memberi keutamaan kepada pengukuhan jentera dan akar umbi supaya tidak terlalu bergantung kepada kekuatan parti-parti lain dalam gabungan.
“Kuatkan jentera, bina kekuatan akar umbi dan jangan sampai parti sendiri jadi ‘penumpang’ yang terlalu bergantung kepada kekuatan parti komponen lain.
“Hentikan segala gerakan ‘catur politik’ yang tidak berkesudahan sehingga mengabaikan parti sendiri, Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan.
Yadzil turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin mengumumkan secara terbuka bahawa PN akan bertanding dan berupaya memenangi kesemua 28 kerusi DUN Melaka sedangkan beliau tidak lagi memegang jawatan tertinggi dalam gabungan tersebut.
Menurutnya, pengumuman sedemikian sepatutnya dibuat selepas melalui proses perbincangan dan keputusan rasmi kepimpinan PN.
“Tindakan itu agak kelakar. Bagaimana Muhyiddin boleh bertindak sebagai jurucakap utama sedangkan perkara tersebut dipercayai belum melalui proses musyawarah atau keputusan rasmi jawatankuasa PN.
“Saya masih waras dan tidak pekak atau buta. Seingat saya beliau bukan lagi Pengerusi PN malah bukan juga Setiausaha Agung PN.
“Jadi usahlah beria-ia sangat nak pasang badan atau buat pengumuman itu dan ini bagi pihak PN. Watikah calon juga tidak berada di tangan beliau,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan isu kemasukan parti-parti baharu ke dalam PN yang menurutnya menimbulkan persoalan mengenai hala tuju gabungan tersebut.
Katanya, sebelum ini beberapa parti Melayu dikatakan gagal menyertai PN, namun kini terdapat usaha membuka ruang kepada parti lain termasuk Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), Parti Urimai yang dikaitkan dengan P Ramasamy dan Malaysian Advancement Party (MAP) yang diasaskan Waytha Moorthy.
“Sebelum ini Muhyiddin begitu liat dan mengunci rapat pintu masuk buat empat parti Melayu yang berhasrat menyertai gabungan itu.
“Senarionya berubah secara drastik hari ini. Tindakan lampu hijau yang diberikan kepada IPR untuk menumpang lambang PN selain kesungguhan untuk menyeludup masuk parti seperti Urimai dan MAP.
“Adakah ini satu strategi penyeludupan yang halus? Mungkinkah ini disengajakan untuk melemahkan PN dari dalam?” soalnya.
Beliau turut mengingatkan kepimpinan Bersatu supaya tidak terlalu memberi tumpuan kepada percaturan politik sehingga mengabaikan kekuatan parti sendiri.
“Ingatlah pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Betulkan sebelum kapal parti itu karam akibat terlalu sibuk menjaga kepentingan pihak lain berbanding memperkasakan diri sendiri,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin Yassin mengesahkan PN akan bertanding di kesemua 28 kerusi DUN pada PRN Melaka yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Pengumuman itu dibuat ketika Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Bersatu Melaka di Klebang, malam tadi.
Menurut Muhyiddin, pembahagian kerusi akan dimuktamadkan menerusi rundingan bersama parti-parti komponen bagi memastikan strategi terbaik dapat dirangka untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.
BACA JUGA Pezeshkian letak jawatan? Iran dakwa hanya ‘permainan media