Kisah kereta berlumba sebelum nahas, 4 meninggal di tempat kejadian
Polis mengesahkan kemalangan maut yang berlaku di Jalan Renggam-Simpang Renggam semalam, membabitkan lima buah kenderaan, dipercayai berpunca daripada tindakan dua pemandu yang memandu secara laju sebelum salah sebuah kenderaan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari di Kilometer 27 jalan berkenaan, sebuah kereta jenis BMW 530e yang dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun dipercayai sedang dipandu laju bersama sebuah Mercedes-Benz dari arah Bandar Kluang menghala ke Simpang Renggam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati BMW terbabit hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh empat kenderaan lain iaitu Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira serta sebuah lagi Mercedes-Benz yang sedang bergerak dari arah bertentangan.
Akibat pelanggaran itu, BMW berkenaan terjatuh ke dalam gaung di seberang jalan.
Kemalangan ngeri tersebut mengorbankan empat sekeluarga yang menaiki Toyota Vios iaitu pemandunya, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun, isterinya berusia 33 tahun, seorang wanita berusia 73 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.
Kesemua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Pemandu BMW turut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, dua penumpang Perodua Alza iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun mengalami kecederaan di kepala dan kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
Pemandu Alza, lelaki tempatan berusia 43 tahun, mengalami kecederaan pada kaki manakala pemandu Proton Wira berusia 22 tahun cedera di bahagian mulut.
Pemandu Mercedes-Benz, seorang wanita tempatan berusia 57 tahun, mengalami kecederaan ringan pada dada dan muka, manakala dua penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.
Dalam perkembangan berkaitan, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun yang dipercayai memandu sebuah Mercedes-Benz A250 secara laju dan melulu bersama BMW terbabit sebelum kemalangan berlaku.
Kenderaan suspek telah dirampas untuk siasatan lanjut dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah.
Suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
Polis Daerah Kluang menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan tragedi seumpama itu berulang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi IPD Kluang di talian 07-7784222 atau Hotline 07-7766822.