MHO dakwa sindiket scam berpindah ke Malaysia susulan tekanan operasi di Myanmar dan Kemboja

FOTO BERITA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan bahawa sindiket pusat penipuan dalam talian atau “scam center” yang sebelum ini beroperasi di Myanmar, Kemboja dan Laos dipercayai mula memindahkan operasi mereka ke Malaysia berikutan tindakan penguatkuasaan yang semakin ketat di negara-negara berkenaan.

Menurut beliau, tekanan berterusan daripada pihak berkuasa antarabangsa termasuk penglibatan agensi penguatkuasaan seperti FBI dalam membanteras kegiatan pemerdagangan manusia dan pusat penipuan di Myanmar serta Kemboja menyebabkan sindiket terbabit mencari lokasi alternatif untuk meneruskan operasi mereka.

“Maklumat yang kita terima menunjukkan sebahagian operasi scam center ini telah mula dipindahkan ke Malaysia. Kita mengetahui lokasi yang dimaksudkan tetapi tidak akan mendedahkannya kepada umum buat masa ini. Semua maklumat akan disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di Pejabat MHO, Megan Avenue, Jalan Tun Razak, hari ini.

Dalam sidang media itu, seorang bekas mangsa yang pernah bekerja di pusat penipuan berkenaan turut berkongsi modus operandi sindiket yang memperdaya mangsa melalui tawaran pekerjaan dan pelaburan dalam talian. Beliau menjelaskan mangsa akan dipancing dengan janji keuntungan kecil pada peringkat awal sebelum diminta membuat pelbagai transaksi tambahan. Setelah kepercayaan mangsa diperoleh, sindiket akan mendesak mereka membuat bayaran lebih besar sehingga mencecah ribuan dolar sebelum akhirnya wang tersebut lesap.

“Semua janji dapat duit mudah dan cepat di internet itu kebanyakannya penipuan. Yang untung hanya bos-bos sindiket. Mangsa akhirnya kerugian besar,” katanya. Beliau turut mendedahkan bahawa kebanyakan sindiket berkenaan dikendalikan oleh warga asing dan menggaji pekerja daripada pelbagai negara termasuk Afrika, China dan beberapa negara Asia Tenggara.

Sementara itu, Dato’ Hishamuddin menasihatkan orang ramai khususnya golongan muda agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan bergaji lumayan di luar negara tanpa membuat semakan terperinci terlebih dahulu. “Jangan percaya kepada tawaran yang menjanjikan kekayaan segera. Tiada jalan pintas untuk menjadi kaya. Cari rezeki secara sah dan berperingkat,” tegasnya.