AMK dakwa RTS gagal tanpa komitmen PMX?
Projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) yang sedang giat dibangunkan menjadi bukti bagaimana kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan mampu menyelesaikan masalah rakyat yang berlarutan sejak puluhan tahun.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairudin berkata, projek berimpak tinggi itu tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa komitmen kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, kesesakan di Tambak Johor telah lama menjadi beban kepada rakyat yang berulang-alik antara Johor dan Singapura.
“Rakyat perlu tahu bahawa RTS bukan projek Kerajaan Negeri semata-mata. RTS tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan, komitmen dan rundingan Kerajaan Persekutuan MADANI,” katanya.
Selain RTS, Danish berkata pelbagai usaha lain turut dilaksanakan termasuk penambahbaikan sistem imigresen menggunakan kod QR, pembangunan infrastruktur sempadan serta projek logistik yang bertujuan mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara.
Beliau turut mengaitkan kejayaan pembangunan Johor dengan bantuan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan projek tebatan banjir dan pembangunan infrastruktur awam.
Katanya, ketika Johor memerlukan penyelesaian terhadap isu banjir, pelaburan dan pengangkutan moden, kerajaan MADANI tampil membantu melalui peruntukan dan kelulusan projek yang diperlukan.
“Ketika Johor memerlukan hubungan ekonomi yang lebih kukuh dengan Singapura, Kerajaan MADANI memimpin rundingan dan merealisasikannya.
“Setiap kejayaan besar Johor hari ini mempunyai satu persamaan yang jelas iaitu wujudnya kerjasama erat dengan Kerajaan MADANI yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Menurut Danish, rakyat akan membuat penilaian berdasarkan kemampuan sesebuah kerajaan menyelesaikan masalah harian mereka dan membawa pembangunan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan.
Beliau berkata, kejayaan RTS, pembangunan JS-SEZ serta pelbagai projek infrastruktur lain menjadi contoh bagaimana kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan mampu menghasilkan manfaat besar kepada rakyat Johor.