Netizen luah jem di Cameron Highlands dah cipta rekod dunia
Kalau dahulu orang datang ke Cameron Highlands untuk menikmati udara sejuk dan pemandangan menghijau, kini ada yang bergurau mengatakan tarikan utama pusat peranginan itu ialah… kesesakan lalu lintas.
Seorang pelancong meluahkan rasa kecewa selepas dipercayai terperangkap dalam kesesakan trafik yang teruk ketika bercuti di Cameron Highlands sempena cuti panjang.
Menerusi satu hantaran di Facebook, pengguna dikenali sebagai Dz Dzul berkongsi keadaan jalan raya yang dipenuhi kenderaan sehingga hampir tidak bergerak.
“Tah la, kesal menyesal sesal menyesali semua ada,” tulisnya ringkas.
Menurut beberapa pengguna media sosial yang turut berkongsi pengalaman sama, ada yang mendakwa kenderaan mereka hanya bergerak beberapa sentimeter dalam tempoh yang lama.
“Dah 30 minit atas jalan, kereta gerak kurang satu meter,” kata seorang netizen yang menyifatkan situasi itu sebagai “jem rekod dunia”.
Perkongsian tersebut segera menarik perhatian ramai dengan kebanyakan netizen mengakui kesesakan di Cameron Highlands sudah menjadi fenomena biasa setiap kali musim cuti sekolah, cuti umum atau hujung minggu panjang.
Seorang pengguna, Abe Hachiroku berkata dia langsung tidak memasukkan Cameron Highlands dalam senarai destinasi percutian ketika musim puncak.
“Kalau saya, bercuti di Cameron waktu cuti panjang memang tak pernah ada dalam diari hidup,” katanya.
Bagi Mohdnazuddin Nazuddin pula, pelancong lebih baik memilih hari bekerja jika mahu menikmati suasana sebenar Cameron Highlands.
“Pergi hari biasa sahaja. Buang masa kalau pergi waktu cuti panjang,” katanya.
Namun tidak semua melihat kesesakan itu sebagai sesuatu yang menyakitkan hati.
Ada juga yang beranggapan jem di Cameron Highlands masih mempunyai “nilai tambah” berbanding kesesakan di bandar-bandar besar.
“Jem di Cameron Highlands berbeza dengan tempat lain. Buka tingkap, masuk angin sejuk, tengok hutan menghijau, rasa tenang sahaja,” kata Zuraihan Nordin.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna media sosial, DelightfulGiraffe2725 mengingatkan bahawa kesesakan yang berlaku bukan hanya menjejaskan pelancong tetapi juga kehidupan harian penduduk tempatan.
“Orang yang duduk Cameron ini pun susah nak pergi kerja. Tak semestinya kena duduk rumah sahaja,” katanya.
Isu kesesakan trafik di Cameron Highlands bukan perkara baharu dan sering menjadi rungutan terutama ketika musim percutian. Peningkatan jumlah kenderaan yang memasuki kawasan tanah tinggi itu dilihat tidak lagi seimbang dengan kapasiti jalan raya sedia ada.
Bagi sesetengah pelancong, Cameron Highlands masih kekal destinasi wajib dikunjungi. Namun bagi yang lain, masa yang dihabiskan dalam kesesakan mungkin lebih lama daripada masa menikmati secawan teh panas di puncak bukit.
BACA JUGA ‘Dapat kurniaan Allah tapi kenapa nak kufur nikmat?’, Mufti tegur majlis tema hantu di Kelantan