Ini sebabnya Johor perlu kerajaan sealiran dengan Putrajaya

Bangsa Johor pastinya mahukan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi hasil hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan berterusan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Situasi ini penting ketika dunia masih berdepan ketidaktentuan ekonomi dan krisis tenaga global yang memberi kesan kepada rantaian bekalan, harga komoditi serta kos sara hidup.

Kerjasama baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan mampu membantu mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan serta menarik pelaburan baharu ke Johor.

Banyak projek strategik termasuk pembangunan infrastruktur, sektor teknologi digital serta kemasukan pelaburan pusat data sekaligus menjadikan Johor antara hab utama ekonomi digital negara.

Lanjutan daripada perkembangan positif ini bagaimanapun dilihat sukar untuk berjalan lancar tanpa kerjasama rapat dengan Putrajaya sesudah PRN ini.

Penyelarasan

Malah, kestabilan yang dinikmati Johor ketika ini turut disokong oleh kestabilan politik di peringkat Persekutuan, sekali gus memudahkan penyelarasan dasar dan pelaksanaan projek pembangunan.

Dalam masa sama, keputusan PRN Johor bakal memberi kesan terhadap landskap politik nasional, khususnya hubungan antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

Oleh itu, kemenangan besar mana-mana parti atau gabungan boleh mengubah keseimbangan kuasa politik dan mempengaruhi hala tuju kerjasama sedia ada di peringkat Persekutuan.

Apapun, kira-kira 2. 7 juta pengundi berdaftar di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) tentunya akan membuat pertimbangan bijak di kertas undi nanti.

Pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk sealiran dengan Kerajaan Persekutuan, pembangunan ekonomi, pelaburan serta kemampuan kerajaan menangani cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.

BACA JUGA Fokus turunkan pengundi, ini formula terbaik PH tawan Johor