Azam Baki beri keterangan di Bukit Aman, nafi dakwaan ugut Albert Tei
Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki selesai memberikan keterangan kepada pihak polis hari ini berhubung kaitannya dengan ahli perniagaan, Albert Tei.
Beliau dilaporkan memberi keterangan selama dua jam kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Beliau menafikan pernah berjumpa atau mempunyai sebarang urusan dengan Tei serta mengemukakan bukti kepada polis bahawa beliau tidak pernah berurusan secara langsung dengan ahli perniagaan itu.
“Saya memberitahu polis saya tidak pernah bertemu dengan Albert Tei atau membuat sebarang urusan dengannya.
“Saya juga memaklumkan saya tidak pernah menghantar mana-mana peguam untuk bertemu dengan mana-mana pihak.
“Saya juga mengemukakan bukti kepada penyiasat bahawa saya tidak pernah bertemu dengan Albert Tei atau berurusan secara langsung dengannya,” katanya hari ini.
Polis membuka siasatan susulan laporan yang dibuat Tei pada 13 Mei lalu yang mendakwa beliau diugut menerusi peguamnya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar, sebelum ini memaklumkan polis sudah merakam keterangan daripada Tei serta individu yang didakwa menyampaikan ugutan berkenaan bagi membantu siasatan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah
Tei sebelum ini mendakwa Azam mengugut, menghalang dan menganiayanya ketika beliau cuba mendedahkan dakwaan rasuah yang kononnya membabitkan beberapa ahli politik berprofil tinggi di Sabah tahun lalu.