Anugerah Prasekolah terbaik dunia kepada Pasti rupanya ‘anugerah beli’?

OLEH ADRIAN LIM CHEE EN

Berapa kos untuk membeli “Anugerah Prasekolah Terbaik Dunia”?

Zaman teknologi sekarang, bukan susah nak cari latar belakang penganjur “World Schools Summit”, di mana sekolah Pasti telah berjaya mendapat “Anugerah Prasekolah Terbaik Dunia”.

Semakan mendapati badan penganjur merupakan sebuah perniagaan berteraskan keuntungan yang dimulakan pada tahun 2016, oleh seorang warganegara India kelahiran Punjab yang bernama Akshay Ahuja.

Sejak itu, dalam tempoh 10 tahun, sejumlah 36 siri telah dianjurkan, iaitu purata 3 hingga 4 siri setiap tahun.

30 Mei 2026: Siri ke-36 di Bangkok, Thailand

(Jabatan Pasti telah “diiktiraf” sebagai “prasekolah terbaik dunia”)

22 Mei 2026: Siri ke-35 di Canberra, Australia.

24 Januari 2026: Siri ke-34 di Kuala Lumpur, Malaysia

Untuk meletakkan sedikit konteks, sebelum kita teruja dengan perkataan “terbaik di dunia”, kita harus melihat apakah kriteria untuk menerima anugerah-anugerah ini.

Dalam siri ke-34 yang berlangsung di Kuala Lumpur, para peserta harus membeli pakej program untuk melayakkan diri menerima anugerah sekian-sekian.

Pakej mewah yang ditawarkan sempena siri ke-34 di Kuala Lumpur mencecah harga $4,600 (RM18,500).

Begitu juga pakej-pakej yang ditawarkan sempena siri ke-36 Bangkok, di mana laman web World School Summit sendiri menyatakan bahawa kos pakej platinum boleh mencecah $10,000 (RM40,000).

Google Gemini merumuskan bahawa anugerah ini anugerah “pay to play”, atau “bayar untuk bermain” (digerakkan oleh sponsor berbayar). 

Maka tidak hairanlah, 99% para peserta anugerah ini merupakan pihak-pihak yang menjalankan perniagaan swasta berteraskan keuntungan dalam industri pendidikan.

Perniagaan swasta membeli “pengiktirafan” supaya “pengiktirafan” ini boleh dijadikan bahan pemasaran bagi tujuan membuat keuntungan.

Oleh kerana seorang calon Perdana Menteri sebuah gabungan parti politik telah membuat posting berkenaan “anugerah” ini, saya fikir isu ini amat serius.

Sekiranya industri pendidikan Malaysia di bawah pengelolaan PM ini menyerap budaya “membeli anugerah” ini, apakah yang akan berlaku kepada mutu pendidikan negara dan masa depan anak-anak kita?

Gagal peperiksaan? Tak apa. Kita beli sijil.

IPT tak dapat ranking? Tak apa. Kita beli anugerah.

Mampus kalau macam tu.

Sebenarnya kalau kita bercakap tentang autoriti pendidikan bertaraf dunia, biasanya rujukan yang digunakan ialah seperti berikut:

1. UNESCO: Agensi khusus di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu

2. OECD: Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi

3. World Bank: Bank Dunia

Badan-badan ini mempunyai autoriti kerana mereka diiktiraf oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia dan ahli-ahli akademik.

Penilaian mereka mempunyai metodologi jelas dan konsisten dan data terbuka. Sekiranya ada pihak tidak puas hati, metadologi dan data yang digunapakai oleh mereka boleh diaudit.

Kesemuanya dijalankan secara telus dan dibuka untuk dipertikai sekiranya ada pihak tidak puas hati.

Bagaimana pula “World School Summit 2026”?

1. Siapa sebenarnya badan induk dia?

Jawapan: Sebuah perniagaan berteraskan keuntungan

2. Apakah metadologi penilaian yang digunapakai?

Jawapan: Beli pakej berpuluh ribu ringgit 

3. Panel juri dia siapa?

Jawapan: Penganjur yang merupakan businessman

4. Speaker dia siapa?

Jawapan: Pemain tennis, ahli politik, artis, selebriti

Apa pun, tahniah Jabatan Pasti kerana diiktiraf sebagai “Prasekolah Terbaik Dunia” oleh sekumpulan ahli perniagaan, selebriti, pemain tenis dan yang seangkatan dengannya.