Clean & Green Sentosa 2026 dilancar, MBDK sasar komuniti lebih bersih, hijau dan mampan”

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Pelancaran Clean & Green DUN Sentosa 2026 oleh Dato’ Abd Hamid Hussain Datuk Bandar MBDK. Hadir bersama YB Dr. Gunaraj George ADUN Sentosa merangkap Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dan di Community Development Centre, No. 15A, Jalan Mohd Tahir 8, Taman Sri Mewah 4, Office Jalan Sungai Jati, Bandar Sentosa, Klang, Selangor. 3hb Jun 2026 (Rabu)

Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) terus memperkukuh komitmennya dalam mempromosikan kebersihan, kehijauan dan kelestarian bandar menerusi pelancaran program Clean & Green DUN Sentosa 2026 yang disempurnakan oleh Datuk Bandar MBDK, Dato’ Abd Hamid Hussain di Community Development Centre, Bandar Sentosa, di sini

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr. Gunaraj George, barisan Ahli Majlis MBDK, wakil KDEB Waste Management, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Pengurusan Bangunan (JMB), ketua komuniti serta penduduk setempat. Dalam ucapannya, Dato’ Abd Hamid menegaskan bahawa aspek kebersihan, kehijauan dan kelestarian merupakan antara tanggungjawab utama pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat melalui persekitaran yang bersih, selesa dan mampan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada ADUN Sentosa serta jawatankuasa penganjur yang telah menggerakkan inisiatif Clean & Green sejak tahun 2019 dan berjaya membawa perubahan positif kepada landskap kawasan Sentosa melalui penglibatan aktif komuniti. “Program seperti ini memerlukan kerjasama berterusan daripada semua pihak. Dengan penyertaan masyarakat, kawasan Sentosa dapat terus dipertingkatkan sebagai sebuah komuniti yang bersih, hijau dan lestari,” katanya.

Menurut beliau, pengurusan sisa pepejal merupakan antara cabaran utama yang dihadapi pihak berkuasa tempatan apabila sekitar 800 tan sampah dihantar ke tapak pelupusan setiap hari di Klang, dengan kos pelupusan mencecah puluhan ribu ringgit sehari. Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat untuk mengamalkan budaya kitar semula bagi mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan serta membantu menjimatkan kos pengurusan sampah.

Selain itu, Dato’ Abd Hamid turut menggalakkan pembangunan kebun komuniti di kawasan lapang dan kawasan hijau yang tersedia sebagai satu usaha memperkukuh agenda bandar hijau serta meningkatkan pendapatan komuniti melalui hasil tanaman. Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap isu pembuangan sampah haram yang masih berlaku di beberapa lokasi dan menegaskan bahawa MBDK akan terus mengambil tindakan tegas termasuk menyita kenderaan, mengeluarkan kompaun dan mengheret pelaku ke muka pengadilan.

“Kita memerlukan kerjasama masyarakat sebagai mata dan telinga pihak berkuasa bagi melaporkan aktiviti pembuangan sampah haram supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya. Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa MBDK sedang memperluaskan program pendidikan alam sekitar ke sekolah-sekolah menerusi pelbagai inisiatif termasuk kebun komuniti, program kitar semula dan pengumpulan minyak masak terpakai bagi meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Beliau turut memberi jaminan bahawa MBDK akan meneliti isu tanah terbiar yang dibangkitkan penduduk dengan mendapatkan maklumat pemilik tanah serta mengeluarkan notis sewajarnya bagi memastikan kawasan berkenaan tidak dijadikan lokasi pembuangan sampah haram atau aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Mengakhiri ucapannya, Dato’ Abd Hamid menegaskan bahawa MBDK akan terus memberikan sokongan penuh kepada program-program komuniti yang membawa manfaat kepada penduduk, alam sekitar serta pembangunan negeri dan negara. Beliau kemudian secara rasmi melancarkan Program Clean & Green DUN Sentosa 2026 dengan lafaz “Bismillahirrahmanirrahim”, sekali gus menandakan kesinambungan usaha menjadikan Bandar Sentosa sebagai komuniti yang lebih bersih, hijau dan mampan.

Sementara itu Dr. Gunaraj yang juga Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat kepada Menteri Besar Selangor berkata, objektif utama program tersebut adalah untuk menggalakkan penyertaan penduduk dalam memastikan kawasan perumahan sentiasa bersih, terurus dan hijau demi kesejahteraan komuniti setempat. Menurut beliau, sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2019, pelbagai aktiviti telah dirancang dan dilaksanakan dengan memberi penekanan kepada penglibatan masyarakat setempat, termasuk program gotong-royong, kebun komuniti dan penanaman pokok.

“Jika penduduk tidak dilibatkan, mereka hanya akan bergantung kepada kontraktor atau pihak berkuasa tempatan untuk menguruskan kebersihan kawasan. Tetapi apabila penduduk sendiri mengambil bahagian, mereka akan lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran tempat tinggal mereka,” katanya. Beliau berkata, kejayaan pendekatan itu dapat dilihat di beberapa kawasan termasuk Jalan Kebun yang sebelum ini berdepan masalah pembuangan sampah haram. Melalui kerjasama penduduk dan pelaksanaan kebun komuniti, kawasan tersebut kini lebih bersih dan terurus.

Katanya, penglibatan persatuan penduduk dalam program gotong-royong juga semakin meningkat apabila komuniti setempat bersama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan kawasan masing-masing. Dalam aspek penghijauan, Dr. Gunaraj berkata program penanaman pokok yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu telah memberi impak positif kepada landskap bandar, termasuk di sepanjang Jalan Sungai Jati dan Raja Nong yang kini lebih teduh dan menarik.

“Tiga tahun lalu kita menanam pokok di kawasan ini. Hari ini pokok-pokok tersebut telah membesar, berbunga dan menjadikan kawasan lebih segar serta indah,” katanya. Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai aktiviti baharu telah dirancang sepanjang Jun dan Julai ini termasuk program penanaman pokok serta usaha menukar lokasi panas (hotspot) pembuangan sampah haram kepada kawasan landskap yang lebih menarik.

Menurutnya, kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot akan dibersihkan dan ditanam dengan pokok serta bunga bagi mengelakkan orang ramai terus membuang sampah di lokasi berkenaan. “Bila kawasan itu dihijaukan dan dijaga oleh penduduk setempat, orang ramai akan lebih menghormati persekitaran tersebut dan tidak sewenang-wenangnya membuang sampah,” katanya.

Sementara itu, beliau turut membangkitkan isu tanah terbiar milik pemaju yang dikenal pasti menjadi antara punca masalah kebersihan dan pembuangan sampah haram di beberapa lokasi sekitar DUN Sentosa. Menurut beliau, pihaknya telah meminta kerjasama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) untuk memastikan pemaju bertanggungjawab membersihkan kawasan masing-masing serta mempertimbangkan langkah memagar lot-lot yang masih belum dibangunkan.

“Tanah terbiar yang tidak diuruskan bukan sahaja menjadi lokasi pembuangan sampah, malah mengundang masalah lain seperti semak samun, kehadiran haiwan liar termasuk monyet dan pelbagai isu keselamatan,” katanya. Beliau menyambut baik komitmen MBDK yang akan meneliti langkah penguatkuasaan dan syarat tertentu bagi memastikan pemaju melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menjaga kebersihan kawasan yang belum dibangunkan.

Program Clean & Green DUN Sentosa 2026 dilihat sebagai kesinambungan usaha membudayakan amalan kebersihan dan kelestarian alam sekitar dalam kalangan masyarakat, sejajar dengan aspirasi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih mampan, sihat dan berkualiti untuk didiami.