Umno Johor tak mahu kongsi kerusi, mahu kuasai politik negara, dakwa Chin Tong

Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong berkata, keputusan membubarkan DUN Johor adalah sebahagian daripada “rancangan besar” Umno negeri itu.

Menurut beliau, walaupun Umno merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, terdapat pihak dalam parti itu di Johor yang tidak selesa dengan formula tersebut.

Ini kerana ia memerlukan perkongsian kerusi antara parti-parti komponen, dan Umno Johor tidak menyukai formula itu.

“Umno Johor mempunyai rancangan yang besar. Walaupun di peringkat Persekutuan mereka merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, terdapat pihak dalam BN yang tidak menyukai formula tersebut.

“Ini kerana formula itu memerlukan mereka melepaskan lebih banyak kerusi. Mereka mahu membubarkan DUN Johor, kemudian Melaka. 

“Mereka mahu menang di Johor dan Melaka bagi mewujudkan gelombang politik di peringkat nasional supaya dapat bertanding tiga penjuru menentang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu video.

Liew berkata, Umno Johor mahu mahu muncul sebagai parti dominan dengan calon Perdana Menteri mereka sendiri, sekali gus menguasai keseluruhan landskap politik negara.

“Saya fikir rakyat Malaysia telah menerima bahawa Malaysia perlu menjadi sebuah negara demokrasi selepas tahun 2018. Kita tidak mahu melihat satu parti sahaja mendominasi segala-galanya,” katanya lagi