PRN Johor: Permulaan politik solo atau permulaan kekacauan nasional?
Keputusan Umno dan Barisan Nasional untuk bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar strategi pilihan raya biasa.
Ia adalah petanda besar bahawa landskap politik Malaysia sedang memasuki fasa baharu yang jauh lebih rumit, berpecah dan tidak menentu.
Kenyataan pimpinan Umno Johor serta tokoh seperti Khairy Jamaluddin bahawa BN perlu mempertahankan Johor tanpa kerjasama politik lain menunjukkan keyakinan bahawa kekuatan tradisi Umno masih mampu berdiri sendiri di negeri kelahiran parti itu.
Namun persoalan lebih besar ialah: Apakah yang akan berlaku selepas PRN Johor dan menuju PRU ke-16?
Jawapannya mungkin tidak menyenangkan. Politik Malaysia sedang bergerak ke arah keadaan yang semakin caca-marba, penuh retorik dan sarat dengan percaturan jangka pendek yang akhirnya boleh menjerumuskan negara ke dalam ketidakstabilan berpanjangan.
Dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin kompetitif, Malaysia tidak lagi mempunyai kemewahan untuk terus terperangkap dalam drama politik tanpa penghujung.
Hakikatnya, negara-negara Asia Tenggara lain sedang bergerak pantas. Vietnam semakin agresif menarik pelaburan teknologi tinggi.
Indonesia sedang membina kekuatan industri hiliran dan ibu negara baharu.
Thailand pula terus memperkukuh sektor pelancongan dan automotifnya.
Malaysia sebaliknya masih tenggelam dalam pertelingkahan politik elit, perebutan kerusi dan permainan persepsi media sosial.
PRN Johor akan menjadi referendum awal terhadap masa depan politik gabungan besar di Malaysia.
Jika BN menang besar secara solo, ia akan memperkukuh suara dalam Umno yang mahu meninggalkan formula Kerajaan Perpaduan pada PRU16.
Jika BN sekadar menang tipis atau kehilangan banyak kerusi, tekanan untuk kembali bekerjasama dengan PH akan muncul semula. Dalam kedua-dua keadaan, kestabilan politik nasional akan terus tergugat.
Lebih membimbangkan ialah kemunculan terlalu banyak parti politik kecil yang mendakwa membawa agenda reformasi, anak muda, progresif atau “penyelamat rakyat.”
Sejarah politik dunia menunjukkan bahawa perpecahan berlebihan jarang menghasilkan kestabilan.
Sebaliknya ia melahirkan kerajaan rapuh, rundingan tidak berkesudahan dan politik ugut-mengugut.
Lihat sahaja keadaan politik United Kingdom selepas pilihan raya mengejut 2017.
Bekas Perdana Menteri Theresa May memanggil pilihan raya awal dengan keyakinan bahawa beliau akan memperoleh mandat besar bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan Konservatif menjelang rundingan Brexit.
Namun percaturan itu memakan diri apabila Parti Konservatif kehilangan majoriti di Parlimen dan negara terjerumus ke dalam situasi “hung parliament”.
Conservative Party akhirnya terpaksa membentuk kerajaan minoriti dengan sokongan Democratic Unionist Party (DUP), sekali gus melemahkan kestabilan politik dan proses Brexit sendiri. (euronews)
Keadaan itu menyebabkan pentadbiran Britain menjadi sangat rapuh. Setiap undian penting di Parlimen menjadi medan tawar-menawar politik.
Dasar kerajaan sering tergantung. Rundingan Brexit menjadi bercelaru dan ekonomi United Kingdom sendiri mengalami ketidaktentuan berpanjangan.
Apa yang berlaku di Britain menjadi pengajaran bahawa pilihan raya yang dipenuhi ego politik dan percaturan kuasa boleh membawa negara ke arah ketidakstabilan yang memakan masa bertahun-tahun untuk dipulihkan.
Malaysia sedang menghampiri keadaan sedemikian.
Lebih ironik, ramai pihak bercakap tentang reformasi, tetapi dalam masa yang sama terus memecahkan kekuatan politik nasional kepada kelompok-kelompok kecil yang berasaskan ego individu.
Parti baharu muncul bukan kerana perbezaan ideologi besar, tetapi kerana kecewa tidak mendapat jawatan, kalah pemilihan atau konflik personaliti.
Dalam konteks ini, sukar untuk menafikan bahawa Mahathir Mohamad merupakan antara tokoh paling besar yang mencorakkan budaya ketidakstabilan politik moden negara.
Sejak era penyingkiran Musa Hitam, tekanan terhadap Abdullah Ahmad Badawi, hinggalah pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998, politik Malaysia tidak pernah benar-benar stabil.
Krisis demi krisis lahir daripada budaya politik yang terlalu berpaksikan individu dan perebutan kuasa.
Lebih ketara, selepas meninggalkan Umno, Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan kemudian Parti Pejuang Tanah Air.
Kedua-duanya dipromosikan atas nama menyelamatkan Melayu dan negara, tetapi realitinya gagal membina kestabilan nasional jangka panjang.
Bersatu akhirnya terjebak dalam perebutan kuasa yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan 22 bulan, manakala Pejuang pula tenggelam kerana gagal meyakinkan rakyat bahawa ia benar-benar menawarkan agenda nasional yang segar.
Malah, budaya politik lompat parti, pengkhianatan mandat rakyat dan kejatuhan kerajaan pilihan rakyat banyak berpunca daripada percaturan elit politik yang menganggap kuasa lebih penting daripada kestabilan negara.
Rakyat akhirnya menjadi mangsa.
Pelabur melihat Malaysia sebagai negara yang terlalu tidak stabil. Polisi berubah mengikut pertukaran kerajaan.
Menteri bertukar terlalu kerap. Agenda ekonomi tergendala. Projek strategik menjadi alat politik. Akibatnya, negara kehilangan momentum untuk bersaing secara serius di Asia Tenggara.
PRN Johor nanti bukan sekadar soal siapa menang kerusi DUN. Ia adalah gambaran awal sama ada Malaysia mahu kembali kepada politik kestabilan dan kerjasama matang, atau terus tenggelam dalam budaya politik serpihan yang hanya menguntungkan elit tertentu.
Jika semua parti terus memilih ego berbanding kestabilan nasional, maka PRU16 mungkin menjadi pilihan raya paling berselerak dalam sejarah negara.
Tiada gabungan dominan. Tiada dasar ekonomi konsisten. Tiada hala tuju nasional yang jelas.
Yang tinggal hanyalah retorik, propaganda dan perebutan kuasa tanpa penghujung.
Dan ketika ahli politik sibuk bertelagah, negara-negara jiran akan terus memintas Malaysia satu demi satu.
(Dr ShahNor merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam, Jordan
BACA JUGA Umno Johor tak mahu kongsi kerusi, mahu kuasai politik negara, dakwa Chin Tong