KBS, JBSN meterai kerjasama strategik bersama Foodpanda, Grab dan Gamuda Land perkasa program Rakan Muda

FOTO BERITA: Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jbsn dengan Foodpanda Malaysia, Grab Malaysia dan Gamuda Land yang disaksikan oleh YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan dan Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Rahimi Ismail di Lobi Menara KBS, Presint 4, Putrajaya. 4hb Jun 2026 (Khamis)

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) hari ini melakar satu lagi langkah penting dalam memperkukuh pembangunan belia apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Delivery Hero Malaysia Sdn Bhd (foodpanda Malaysia), MyTeksi Sdn Bhd (Grab Malaysia) dan Gamuda Land Leisure Sdn Bhd.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Lobi Menara KBS, Presint 4, Putrajaya itu disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari bersama Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Rahimi Ismail.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah JBSN, Azura Abidin bagi pihak KBS bersama wakil syarikat-syarikat terlibat. MoU berkenaan berkuat kuasa selama dua tahun bermula 13 April 2026 hingga 12 April 2028.

Kerjasama strategik itu bertujuan memperkukuh pelaksanaan program Rakan Muda yang telah diberi nafas baharu oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 25 Jun 2023. Inisiatif yang mensasarkan golongan belia berusia 13 hingga 30 tahun itu menawarkan platform pembangunan diri melalui sepuluh gaya hidup yang berteraskan aktiviti sihat, produktif dan memperkukuh perpaduan.

Menurut KBS, pelaksanaan Program Rakan Muda telah diiktiraf sebagai program nasional selepas Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Ogos 2023 mengambil maklum bahawa program tersebut akan diterajui oleh kementerian itu dengan penglibatan pelbagai kementerian, agensi persekutuan dan kerajaan negeri menerusi pendekatan “whole-of-nation”.

Melalui MoU yang dimeterai, foodpanda Malaysia, Grab Malaysia dan Gamuda Land akan memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam menjayakan pelbagai program utama Rakan Muda termasuk Fiesta Rakan Muda, Hari Belia Negara dan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia.

Selain menyokong penganjuran program melalui pembukaan reruai dan aktiviti promosi, ketiga-tiga syarikat turut menawarkan pelbagai manfaat eksklusif kepada peserta program. Antaranya termasuk diskaun khas kepada pelanggan foodpanda yang menyertai program Rakan Muda, yuran langganan percuma selama dua bulan pertama untuk ahli baharu Grab Unlimited, subsidi sehingga 60 peratus bagi yuran langganan Grab Unlimited serta kadar istimewa ke GL Play by Gamuda Land.

Kerjasama itu turut melibatkan penggunaan logo kedua-dua pihak pada platform promosi masing-masing bagi memperluaskan capaian dan meningkatkan penjenamaan program Rakan Muda dalam kalangan belia di seluruh negara.

KBS menyifatkan penglibatan syarikat-syarikat korporat terkemuka tersebut sebagai bukti keyakinan sektor swasta terhadap usaha kerajaan dalam memperkasakan golongan belia, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang dan manfaat kepada generasi muda melalui jaringan kerjasama strategik yang mampan.
