Satu lagi pencapaian membanggakan, Dr Amalina raih PhD dari Imperial College London
Lama tidak mendengar khabar Pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri yang dahulunya sentiasa menjadi liputan media tempatan.
Terbaharu, beliau kini telah pun berjaya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Imperial College London dan diraikan dalam satu majlis graduasi di Royal Albert Hall.
Menerusi perkongsian di Instagram, Dr Amalina menitipkan pesanan menyentuh hati buat dua anak perempuannya, Arabella dan Aurora, mengenai pengorbanan serta cabaran yang ditempuh sepanjang perjalanan akademiknya.
Menurut beliau, menyeimbangkan kerjaya sebagai doktor, latihan klinikal, penulisan tesis dan tanggungjawab sebagai seorang ibu bukanlah sesuatu yang mudah.
“Suatu hari nanti, apabila kamu berdua sudah dewasa, mummy harap kamu akan membaca tulisan ini dan memahami perjalanan yang telah mummy lalui.
“Malam-malam yang panjang, syif on-call, penulisan tesis, latihan klinikal, waktu belajar serta pilihan-pilihan yang kadangkala membuatkan mummy terpaksa berjauhan daripada kamu walaupun hati ini tidak pernah mahu berenggang,” tulisnya.
Meraih Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang berkait rapat dengan kanser payudara, pelajar cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia 2004 itu menitipkan kata-kata semangat agar Arabella dan Aurora sentiasa berani mengejar impian dan yakin dengan kemampuan diri.
“Jika ada satu perkara yang mummy mahu kamu sentiasa ingat, inilah pesannya: Kamu mampu mencapai perkara-perkara luar biasa. Kamu boleh berani bermimpi besar.Kamu boleh menjadi kuat dan lembut, bercita-cita tinggi dan penuh belas ihsan pada masa yang sama.
“Dan mummy berharap suatu hari nanti, apabila kamu menoleh kembali perjalanan hidup mummy, kamu akan berasa bangga. Bukan kerana mummy sempurna, tetapi kerana mummy telah berusaha untuk diri sendiri, untuk dunia, dan lebih-lebih lagi untuk kamu berdua.
“Sentiasalah ingat, anak-anak perempuan mummy yang tersayang. Mummy percaya kepada kamu sepenuh hati. Tiada yang mustahil untuk kamu.
“Kamu adalah anugerah terindah dalam hidup mummy,” kongsinya.
Untuk rekod, Dr Amalina pernah mengharumkan nama negara apabila disenaraikan sebagai 10 doktor pakar pelatih surgikal terbaik di seluruh UK.
BACA JUGA Tunku Nadzaruddin dimasyhur Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12