TMJ tak senang ahli politik main isu Melayu ditindas masa pilihan raya, siapa dimaksudkan?
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail melahirkan rasa tidak senang dengan tindakan segelintir ahli politik yang sering memainkan naratif Melayu ditindas dan kaum lain mahu mengambil alih negara.
Baginda menganggap naratif menakut-nakutkan rakyat seperti itu tidak masuk akal kerana sentimen sedemikian tidak mencerminkan realiti kehidupan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Dalam video yang dimuat naik oleh Leond Clipz, TMJ menyifatkan permainan isu kaum dan agama sebagai taktik yang sering digunakan untuk meraih sokongan politik.
Baginda mengkritik perbuatan tersebut, menyifatkan apabila naratif tersebut dijaja, ia adalah ucapan berbaur kebencian.
“Jika anda lihat, setiap kali pilihan raya semakin hampir, anda akan melihat orang-orang ini berkata kita perlu selamatkan orang Melayu. Orang Melayu telah ditindas. Orang Cina akan mengambil alih. I’m like what the hell are you talking about.
“Itu pada dasarnya adalah ucapan kebencian. Itu seperti memberikan naratif yang sama sekali berbeza. Tetapi sesetengah orang yang tidak berpendidikan, akan mempercayainya,” kata TMJ dalam video tersebut.
Baginda berkata tiada siapa yang mengarahkan orang Melayu menukar agama mereka, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai motif di sebalik naratif kononnya orang Melayu ditindas.
Realitinya menurut baginda, masyarakat berbilang agama dan kaum di negara ini masih saling menghormati antara satu sama lain.
“Maksud saya, tiada siapa yang menyuruh kita menukar agama atau kita mahukan hak yang sama rata (dengan kaum lain) atau perkara seperti itu. Orang Melayu mempunyai keistimewaan yang berbeza dan kita hanya perlu bersyukur, tetapi kita perlu juga berusaha lebih keras.
“Realitinya, masyarakat masih menghormati agama setiap kaum dan kita perlu akuinya.
“Tetapi anda lihat, setiap kali ahli politik berucap, mereka selalu bercakap tentang bagaimana kita perlu melakukan ini untuk orang Melayu. Orang Melayu mesti melakukan ini, orang Melayu mesti melakukan itu,” kata baginda.
Justeru baginda berkata, peranan institusi diraja penting sebagai semak dan imbang ketika ahli politik terus memainkan sentimen yang boleh memecah-belahkan rakyat.
Video pendek itu tular dan berjaya mendapat perhatian ramai apabila TMJ secara terus menyentuh taktik politik yang sering menggunakan naratif ketakutan kaum bagi meraih sokongan.