Persiapan PRN Johor bermula, PM Anwar dijadual lancar jentera PH esok
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan jentera parti berkenaan pada malam esok untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Perkara itu dimaklumkan oleh Naib Pengerusi PKR, Johor Jimmy Puah Wee Tse menerusi hantaran di platform Facebook hari ini bersama paparan maklumat berkaitan dengan pelancaran tersebut.
Berdasarkan paparan tersebut, majlis pelancaran itu dijadualkan berlangsung Sabtu ini pada sekitar jam 8 malam bertempat di Dewan Sekolah Tinggi Cina, Batu Pahat.
“Pelancaran Jentara Pilihan Raya PH Johor. ‘We are ready’ (Kami sudah bersedia),” kata Jimmy yang juga merupakan Ahli Parlimen Tebrau itu menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.
Sebelum ini, PH Johor mengumumkan kesediaan dalam menggembeling usaha untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN di negeri itu kali ini.
Kualiti Calon jadi Penentu Kemenangan?
Menerusi hantaran berikutnya, Jimmy menjangkakan persaingan yang lebih sengit pada PRN Johor kerana mungkin melibatkan pertandingan empat penjuru dengan kehadiran parti dan gabungan baharu.
Beliau berpendapat bahawa parti tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada logo, slogan atau sokongan tradisi sebaliknya mengutamakan kualiti calon untuk mendapatkan kepercayaan pengundi.
“Selain ideologi parti, rekod pentadbiran dan hala tuju dasar, saya berpandangan bahawa faktor yang benar-benar boleh menjadi penentu kemenangan dalam PRN kali ini ialah kualiti calon.
“Seorang calon yang ideal bukan sahaja perlu mempunyai semangat politik. Tetapi juga perlu memiliki latar belakang pendidikan yang baik, nilai profesionalisme serta kemampuan untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Calon tersebut perlu memiliki kemampuan memahami dasar awam, menguasai isu pembangunan setempat dan pada masa sama berupaya menerangkan isu-isu kompleks dalam bahasa yang mudah difahami oleh rakyat,” katanya.
Menurut Jimmy, calon dikenali komuniti setempat adalah faktor yang penting kerana mereka memahami sentimen tempatan, mengetahui masalah harian dihadapi penduduk serta telah membina kepercayaan dengan akar umbi.
Hal ini kerana pengundi masa kini bukan sahaja mahu menyokong parti, tetapi mahu memilih wakil rakyat yang benar-benar mampu mewakili kawasan, berkhidmat kepada masyarakat dan menjawab keperluan penduduk setempat.