Krisis takhta N9: Persekutuan kekal iktiraf Tuanku Muhriz Yang Dipertuan Besar

Di sebalik ketegangan berterusan berkaitan pertikaian takhta di Negeri Sembilan, Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Respon itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas laporan mengenai pertabalan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 oleh Undang Yang Empat dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka hari ini.

Anwar berkata meskipun Kerajaan Persekutuan tidak terlibat secara langsung dalam isu berkaitan kedudukan pemerintahan Negeri Sembilan, kemuliaan institusi diraja mesti kekal dipertahankan dan perlu melalui setiap kaedah serta peraturannya.

“Sistem Raja ini bukan saja namanya tetapi kemuliaannya dan beberapa kaedah serta peraturannya, sebab itu bagi kita tetap pertahankan kedudukan dan kemuliaan dan kedaulatan Raja.

“Kalau kita ikut sekarang susur galur setakat ini, kita tetap bekerja dan mengiktiraf kedudukan Yang Dipertuan Negeri Sembilan Tuanku Muhriz.

“(Saya) mohon supaya apa-apa pandangan yang lain dibuat mengikut jalur yang sah mengikut perlembagaan tanpa menimbulkan keresahan kepada rakyat,” katanya memetik Bernama selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti Puchong dekat Putrajaya hari ini.

Anwar berkata, menggugurkan atau memakzulkan mana-mana raja akan memberikan implikasi yang sangat besar bagi negara dan keamanan negara.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menyokong tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang memutuskan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi mendapatkan mandat rakyat dalam menyelesaikan kemelut tersebut.

“Saya menyokong penuh tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan mengatakan oleh kerana simpang siur yang tidak tentu arah ini sebaiknya diadakan pilihan raya dan Tuanku juga telah perkenan,” ujarnya.

BACA JUGA Persiapan PRN Johor bermula, PM Anwar dijadual lancar jentera PH esok