‘Cukuplah politik penting diri’ – Khalid gesa rakyat hukum parti kejar kuasa 

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad, menyifatkan pendekatan yang ditunjukkan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan dan Johor sebagai contoh politik matang yang meletakkan kestabilan serta kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti.

Beliau berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran politik dan tuntutan daripada rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan, PH tetap memilih pendekatan kerjasama demi memastikan pentadbiran negara dan negeri dapat berjalan dengan stabil.

Menurutnya, sikap itu berbeza dengan segelintir pihak yang didakwa terus melihat politik semata-mata sebagai medan merebut kuasa dan kedudukan.

“Kita telah menunjukkan pendekatan politik yang matang. Selepas pilihan raya, keutamaan kita ialah merapatkan saf, memperkukuhkan kerjasama dan menumpukan perhatian kepada penyelesaian masalah rakyat serta pembangunan negara,” katanya.

Khalid berkata, PH telah memberikan ruang dan peluang yang luas kepada rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan, termasuk dalam pelantikan jawatan di pelbagai peringkat pentadbiran.

Bagaimanapun, beliau mendakwa masih terdapat pihak yang terus tidak berpuas hati walaupun telah diberikan peranan penting dalam kerajaan Persekutuan mahupun negeri.

Menurut beliau, budaya politik yang terlalu mementingkan parti dan kedudukan akhirnya hanya akan menjejaskan usaha membangunkan negara, terutama ketika rakyat sedang berdepan cabaran kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global.

“Pada ketika negara memerlukan kestabilan, masih ada pihak yang melihat setiap perkembangan politik sebagai peluang untuk mengukuhkan kedudukan sendiri. Politik seperti ini tidak membantu rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Malaysia sedang berdepan pelbagai cabaran luar termasuk ketegangan geopolitik antarabangsa yang boleh memberi kesan kepada ekonomi dan bekalan tenaga dunia.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak sepatutnya menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuh kestabilan politik dan ekonomi berbanding mencetuskan ketegangan politik yang tidak perlu.

Khalid turut menggesa rakyat di Negeri Sembilan dan Johor supaya menilai corak politik yang ditampilkan oleh setiap parti menjelang pilihan raya akan datang.

“Kita berharap rakyat akan menolak politik yang mementingkan diri sendiri, politik yang hanya mengejar kuasa dan kedudukan, serta politik yang meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan rakyat.

“Negara memerlukan kepimpinan yang sanggup bekerjasama, membina kestabilan dan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat, bukannya terus terperangkap dalam permainan politik yang tidak berkesudahan,” katanya.

BACA JUGA PDRM jelaskan apa sebenarnya berlaku di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin