RENCANA | Bila politik menunggang krisis Raja Negeri Sembilan, yang tercalar bukan individu tetapi institusi
AHMAD MURSIĀ
Dalam mana-mana sistem Raja Berperlembagaan, perkara paling penting ialah memastikan institusi diraja berada di atas segala percaturan politik. Raja mesti menjadi simbol penyatuan, bukannya dijadikan alat dalam pertarungan kelompok atau kepentingan parti.
Namun apa yang berlaku dalam krisis melibatkan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan bahawa garis pemisah antara adat, undang-undang dan politik semakin kabur.
Kemunculan beberapa tokoh politik bersama pihak yang mahu memasyhurkan Yang di-Pertuan Besar baharu menimbulkan persoalan besar mengenai motif dan kesan terhadap institusi yang selama ini dihormati.
Lebih membimbangkan apabila terdapat pihak yang sudah menguar-uarkan bahawa Yang di-Pertuan Besar baharu telah dimasyhurkan sedangkan kedudukan Tuanku Muhriz masih belum berubah dan masih diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan.
Keadaan ini bukan sekadar mencetuskan kekeliruan kepada rakyat, malah boleh dianggap sebagai tindakan yang menggugat penghormatan terhadap institusi Raja itu sendiri.
Dalam isu ini, pendirian Kerajaan Persekutuan sebenarnya cukup jelas.
Kerajaan masih mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan menegaskan bahawa sebarang proses pelucutan atau permasyhuran mestilah dilakukan mengikut Perlembagaan Negeri Sembilan serta menghormati kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu.
Prinsip ini penting kerana dalam negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang, sesuatu proses tidak boleh hanya bergantung kepada dakwaan bahawa keputusan telah dibuat, tetapi mesti mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Tidak ramai yang mempertikaikan bahawa Undang mempunyai kuasa memilih atau melucutkan Yang di-Pertuan Besar mengikut adat Negeri Sembilan.
Namun persoalan yang menjadi teras pertikaian ialah sama ada keseluruhan proses tersebut dilaksanakan mengikut kehendak Perlembagaan Negeri Sembilan.
Perlembagaan negeri memperuntukkan bahawa selepas sesuatu keputusan dibuat, proklamasi perlu ditandatangani dan diumumkan oleh Undang bersama Menteri Besar.
Sekiranya proses itu tidak dipatuhi, maka timbul persoalan sama ada pelaksanaan tersebut mempunyai asas perundangan yang sempurna.
Inilah “jantung” kepada keseluruhan krisis yang sedang berlaku.
Mahkamah bukan menentukan adat, tetapi menentukan pematuhan undang-undang
Ada pihak cuba menggambarkan bahawa mahkamah tidak boleh campur tangan dalam urusan adat.
Hakikatnya, mahkamah sememangnya tidak menentukan siapa yang patut menjadi Yang di-Pertuan Besar jika perkara itu berada dalam ruang lingkup adat yang diperuntukkan sebagai muktamad.
Namun mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada proses yang dilaksanakan mematuhi Perlembagaan bertulis atau tidak.
Itulah sebabnya Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan injunksi ad interim yang antara lain bertujuan mengekalkan status quo sementara isu bidang kuasa dan kebolehadilan diputuskan.
Perintah tersebut turut menghalang sebarang mesyuarat atau sidang khas tertentu serta menghalang pengambilalihan fungsi Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
Persoalan sidang khas?
Walaupun injunksi dikeluarkan, sidang khas yang dikaitkan dengan permasyhuran tetap diteruskan.
Peguam yang mewakili pihak berkenaan berhujah bahawa sidang tersebut dibuat sebelum keputusan mahkamah diumumkan.
Namun timbul persoalan lain yang lebih besar.
Jika status quo diperintahkan untuk dikekalkan, siapakah yang mempunyai kuasa memanggil sidang tersebut?
Jika ia benar-benar Sidang Khas DKU, siapakah yang mempengerusikannya sedangkan Yang di-Pertuan Besar merupakan Pengerusi DKU yang sah manakala Undang hanyalah ahli-ahlinya?
Persoalan-persoalan inilah yang akhirnya perlu dijawab melalui proses undang-undang.
Tidak hairan apabila Setiausaha DKU kemudian mengumumkan hasrat memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap pihak yang didakwa melanggar perintah injunksi.
Apa yang lebih membimbangkan ialah penglibatan tokoh-tokoh politik dalam pertikaian yang sangat sensitif ini.
Apabila ahli politik tampil menyebelahi mana-mana pihak sebelum proses undang-undang selesai, persepsi awam akan melihat seolah-olah institusi diraja sedang dijadikan medan pertarungan politik.
Yang rugi akhirnya bukan mana-mana individu.
Yang tercalar ialah kewibawaan institusi Raja yang sepatutnya berada di atas kepentingan politik.
Sejarah politik negara juga pernah menyaksikan episod-episod serupa apabila pihak tertentu cuba menggunakan simbol institusi diraja untuk mencapai objektif politik jangka pendek.
Namun pengalaman menunjukkan, apabila konflik reda, yang tinggal hanyalah kerosakan terhadap institusi yang sepatutnya dipelihara bersama.
Hormati proses, hormati institusi Krisis ini akhirnya bukan sekadar soal siapa yang betul atau salah. Ia adalah ujian terhadap kematangan sistem perlembagaan negara.
Semua pihak wajar menghormati proses mahkamah dan membenarkan undang-undang menentukan sama ada kehendak Perlembagaan Negeri Sembilan telah dipatuhi atau sebaliknya.
Institusi Raja Melayu dibina atas asas maruah, adat dan kedaulatan undang-undang.
Apabila politik mula menunggang krisis seperti ini, yang dipertaruhkan bukan sekadar nama individu tertentu, tetapi kepercayaan rakyat terhadap sebuah institusi yang menjadi sebahagian daripada asas pembentukan negara.
BACA JUGA Kompromi, pemimpin Pas Perlis dapat banyak jawatan lantikan