Sifatkan lantikan untuk tenangkan gelora politik Perlis, tetapi Husna tolak jawatan lantikan MB
Ketua Dewan Muslimat Pas Perlis, dalam satu kenyataan di akaun Tik Tok,Husna Hashim mendedahkan beliau telah menolak tawaran untuk dilantik sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Abu Bakar Hamzah walaupun menganggap pelawaan itu sebagai satu penghormatan yang amat besar.
Husna yang juga anak kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata tawaran tersebut dibuat dengan pengetahuan Menteri Besar Perlis dan beliau amat menghargai kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat kerana telah menawarkan jawatan ini kepada saya dan bagi saya, secara peribadi, ini merupakan satu penghormatan yang amat saya hargai,” katanya.
Menurut Husna, beliau memahami keadaan politik di Perlis ketika ini yang disifatkannya sebagai agak panas dan bergelora, selain melihat tawaran itu sebagai sebahagian daripada usaha kepimpinan negeri untuk mengharmonikan suasana politik.
“Saya juga faham, dalam keadaan suasana politik di Negeri Perlis yang agak panas dan juga bergelora ini, ini adalah antara usaha YAB untuk mengharmonikan keadaan kita,” katanya.
Beliau berkata, Menteri Besar sentiasa berusaha memberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negeri.
Bagaimanapun, Husna memaklumkan beliau terpaksa menolak tawaran tersebut atas sebab-sebab yang tidak dapat didedahkan kepada umum.
“Namun, saya ingin memohon maaf kepada YAB kerana saya terpaksa menolak tawaran jawatan sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Perlis di atas sebab-sebab yang tak dapat saya kongsikan di sini,” katanya.
Walaupun menolak pelawaan itu, beliau tetap mendoakan agar pentadbiran negeri terus dipermudahkan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.
BACA JUGA Tak perlu banyak Apps lagi? – MyGOV cecah 2.2 juta pengguna, boleh tonton Piala Dunia