Krisis N9: Bekas Hakim Mahkamah Rayuan ingatkan penyelesaian mesti ikut undang-undang, bukan percaturan politik
Kemelut politik di Negeri Sembilan perlu diselesaikan berlandaskan undang-undang dan proses perlembagaan, bukannya melalui percaturan politik yang hanya akan menambahkan lagi kekusutan, kata bekas Speaker Dewan Rakyat dan mantan Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Nor.
Kenyataan beliau itu dilihat mengukuhkan pendekatan yang diambil oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang memilih menyerahkan penyelesaian kemelut tersebut kepada proses yang sah di sisi undang-undang sebelum mandat dikembalikan kepada rakyat.
Menurut Mohamad Ariff, sesebuah kerajaan tidak membuat keputusan secara bersendirian kerana ia mempunyai pasukan penasihat yang terdiri daripada pegawai kanan serta penasihat undang-undang yang berpengalaman.
“Mereka mempunyai penasihat undang-undang, termasuk daripada Peguam Negara dan pasukannya serta pelbagai pihak yang berpengalaman. Oleh itu, setiap tindakan atau keputusan sepatutnya dibuat berdasarkan penelitian dan nasihat mereka,” katanya.
Beliau berkata, apabila pihak yang mempunyai kepakaran telah meneliti sesuatu isu dan berpandangan bahawa sesuatu tindakan tidak boleh dilaksanakan, pandangan tersebut sepatutnya dihormati oleh semua pihak.
“Jika sudah ada pihak yang meneliti perkara itu dan menyatakan bahawa ia tidak boleh dilaksanakan, mengapa masih mahu memaksakan sesuatu yang jelas tidak boleh dilakukan?” katanya.
Mohamad Ariff turut mengingatkan bahawa sebarang tindakan tambahan yang tidak berasaskan proses undang-undang hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Jelasnya lagi, tindakan seperti mengeluarkan surat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri atau mengambil langkah-langkah yang hanya mencetuskan kesan berantai sebenarnya akan menambahkan lagi kerumitan kepada masalah yang sedia ada.
Menurut beliau, usaha sedemikian bukan menyelesaikan krisis, sebaliknya menyebabkan keadaan menjadi lebih rumit.
“Kita sedang menambahkan masalah kepada masalah yang sudah sedia ada. Apa yang berlaku sekarang hanyalah menambahkan lagi kekusutan kepada keadaan yang sudah pun rumit,” katanya.
Beliau berpandangan bahawa dalam keadaan politik yang sensitif, semua pihak perlu mengutamakan kebijaksanaan dan menghormati proses perundangan berbanding mengambil tindakan yang boleh mencetuskan pertikaian baharu.
“Dalam situasi seperti ini, kebijaksanaan dan pertimbangan yang lebih baik perlu mengatasi kepentingan lain. Nasihat undang-undang hendaklah diperoleh dan dihormati.”
Mohamad Ariff turut menegaskan bahawa pandangan undang-undang yang dirujuk mestilah datang daripada pihak yang benar-benar mempunyai autoriti dan kepakaran.
“Nasihat itu bukan sekadar daripada mana-mana firma guaman atau mana-mana pihak, tetapi sewajarnya daripada pihak yang benar-benar mempunyai autoriti dan kepakaran dalam bidang perundangan,” katanya.
Beliau berkata, penyelesaian kepada sesuatu krisis politik perlu berpaksikan kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap institusi negara supaya kestabilan pentadbiran dapat dipelihara serta keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi tidak terjejas.
Dalam konteks kemelut di Negeri Sembilan, pendekatan yang menumpukan kepada proses undang-undang dan perlembagaan, bukannya percaturan politik, disifatkan sebagai jalan terbaik bagi memastikan penyelesaian yang sah serta mengelakkan krisis daripada menjadi lebih berpanjangan.
BACA JUGA Pemuda Pas lulus usul putus hubungan dengan Bersatu, kecam Azmin