Beri Anwar satu penggal penuh – Johor perlu seiring Putrajaya demi hadapi cabaran global

Rakyat perlu memberi peluang kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan satu penggal pentadbiran sebelum membuat penilaian pada pilihan raya akan datang, kata Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Berucap ketika pelancaran jentera Pakatan Harapan(PH) di Batu Pahat, Johor menjelas lanjut selepas tempoh itu, rakyat bebas membuat keputusan sama ada mahu mengekalkan kerajaan sedia ada atau memilih gabungan lain, namun ketika ini keutamaan ialah memastikan kestabilan politik negara.

“Bila Perdana Menteri kita lengkap satu penggal, selepas itu kalau rakyat mahu mengubah kerajaan, itu hak mereka. Kalau mahu memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekali lagi pun boleh, kalau mahu memilih gabungan lain pun boleh. Pilihan itu berada di tangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kestabilan politik amat penting ketika negara sedang berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan geopolitik yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Mengulas mengenai Johor, beliau berkata negeri itu merupakan antara pemacu utama ekonomi negara dengan sektor pertanian yang memainkan peranan penting terhadap keterjaminan makanan Malaysia.

Katanya, sepanjang pentadbiran kerajaan negeri sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, kerajaan Persekutuan telah memberikan kerjasama sepenuhnya dalam pelbagai aspek pembangunan.

“Apa sahaja peruntukan yang tidak mencukupi, kita bertemu Perdana Menteri untuk memohon bantuan tambahan demi kepentingan rakyat, pembangunan, sektor pertanian dan jaminan bekalan makanan untuk masa kini serta masa depan,” katanya.

Beliau berkata, hubungan erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu diteruskan kerana negara kini berdepan ketidaktentuan geopolitik dunia yang boleh memberi kesan kepada ekonomi dan bekalan makanan.

Menurutnya, konflik antarabangsa yang berterusan menunjukkan keadaan global sukar diramal.

“Hari ini ada gencatan senjata, esok berlaku serangan baharu dan lusa ada tindak balas. Kita tidak tahu bila konflik geopolitik ini akan berakhir. Sebab itu persediaan dari segi pemikiran dan dasar mesti dibuat dari sekarang,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu bergerak seiring bagi menghadapi cabaran tersebut.

“Kerajaan negeri mesti seiring dengan kerajaan Persekutuan. Apabila kita bergerak sehaluan, barulah kita mampu menghadapi suasana yang lebih mencabar pada masa akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa rakyat Johor akan membuat pilihan yang mengutamakan kestabilan serta pembangunan negeri pada pilihan raya akan datang.

“Saya yakin rakyat Johor ialah rakyat yang bijak berfikir. Sokongan mutlak bukan kepada mana-mana individu, tetapi kepada masa depan rakyat sendiri. 

“Saya yakin Pakatan Harapan akan menerajui Johor selepas pilihan raya ini dan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk membawa kestabilan, keamanan dan kemakmuran kepada negeri serta negara,” katanya.

BACA JUGA Krisis N9: Bekas Hakim Mahkamah Rayuan ingatkan penyelesaian mesti ikut undang-undang, bukan percaturan politik