Rakyat Johor mahu perubahan, sifatkan pembubaran DUN Johor bermotif politik – Aminolhuda

FOTO BERITA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, YB Tuan Haji Aminolhuda Hassan melahirkan keyakinan bahawa rakyat Johor bersedia melakukan perubahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan memberikan mandat kepada Pakatan Harapan untuk menerajui kerajaan negeri. Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan sambutan luar biasa rakyat pelbagai kaum yang hadir pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Johor yang disempurnakan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kim’s Park Business Centre, Batu Pahat malam tadi

Menurut Aminolhuda, kehadiran ribuan penyokong membuktikan rakyat Johor terus memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI yang berjaya mewujudkan kestabilan politik serta memacu pertumbuhan ekonomi negara. Kita dapat lihat pada malam ini bukan sahaja orang Melayu, tetapi juga masyarakat Cina dan India hadir bersama-sama menunjukkan sokongan kepada Pakatan Harapan. Ini membuktikan rakyat Johor mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan inklusif,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan keputusan kerajaan negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor lebih awal sedangkan tempoh pentadbiran masih berbaki kira-kira 11 bulan Katanya, alasan ketidakstabilan politik yang diberikan tidak munasabah memandangkan kerajaan negeri sebelum pembubaran memiliki majoriti besar di DUN.

“Kerajaan Johor mempunyai majoriti yang besar tetapi tetap memilih untuk membubarkan DUN lebih awal. Rakyat berhak menilai sendiri sebab sebenar di sebalik keputusan tersebut,” katanya. Aminolhuda berpendapat keputusan pembubaran awal itu dibuat kerana pihak tertentu bimbang dengan peningkatan sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan, khususnya selepas keadaan negara kembali stabil berbanding ketika Pilihan Raya Negeri Johor pada tahun 2022 yang berlangsung dalam suasana pandemik COVID-19.

Beliau berkata kadar keluar mengundi yang rendah pada pilihan raya terdahulu memberi kelebihan kepada pihak tertentu, namun situasi kali ini berbeza apabila rakyat mempunyai peluang lebih luas untuk keluar mengundi. “Ketika PRN Johor 2022, ramai rakyat berada di luar negeri dan masih bimbang dengan pandemik. Kali ini keadaan sudah berbeza dan saya yakin rakyat akan keluar mengundi dalam jumlah yang jauh lebih besar,” katanya.

Dalam ucapannya, Aminolhuda turut memuji keberanian Anwar yang menurutnya berjaya menstabilkan politik negara sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan. Beliau berkata tindakan Perdana Menteri membawa usul undi percaya di Parlimen sejurus selepas pembentukan kerajaan menunjukkan komitmen beliau untuk memastikan kestabilan politik negara.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kepimpinan yang berani dan bertanggungjawab dengan memastikan kerajaan mendapat mandat yang jelas demi kestabilan negara,” katanya. Aminolhuda turut menekankan pelbagai inisiatif kerajaan Persekutuan yang disifatkan memberi manfaat langsung kepada rakyat termasuk bantuan kewangan, program Jualan Rahmah dan pelbagai subsidi bersasar yang membantu mengurangkan kos sara hidup.

Menurut beliau, pendekatan kerajaan Persekutuan yang menyalurkan bantuan secara terus kepada rakyat membuktikan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan masyarakat. Beliau yakin rekod pencapaian kerajaan Persekutuan akan menjadi faktor penting dalam meyakinkan pengundi Johor untuk memilih Pakatan Harapan pada pilihan raya akan datang.

“Pakatan Harapan menawarkan kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat. Dengan sokongan rakyat Johor, kita yakin mampu membentuk kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan Persekutuan demi mempercepatkan pembangunan negeri ini,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh jentera Pakatan Harapan Johor agar bekerja keras dan turun padang bagi menjelaskan dasar serta pencapaian kerajaan kepada rakyat menjelang hari pengundian.