‘Presiden kamu setiap minggu duduk sebelah saya, harap maklum’ – Anthony sindir Onn Hafiz

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke secara sinis membalas kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan memuat naik gambar yang menunjukkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi duduk bersebelahan dengannya dalam satu mesyuarat.

Perkongsian itu sebagai respons terhadap kenyataan angkuh Onn Hafiz yang mendakwa beliau lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP.

Loke menyifatkan kenyataan tersebut sebagai angkuh dan  menyindir bahawa Presiden Umno sendiri setiap minggu duduk di sebelah pimpinan DAP dalam mesyuarat Kabinet.

“Anda tak nak duduk semeja dengan DAP. Hebat! Teruskan keangkuhan kamu. 

“Tapi, Presiden anda tiap-tiap minggu duduk sebelah dengan Setiausaha Agung DAP ya. Harap maklum. Terima kasih!,” katanya di Facebook.

Dalam Majlis Pelancaran Jentera BN Negeri Johor kelmarin, Onn Hafiz berkata, beliau lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP. 

Beliau juga tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16. 

“Jika diberi mandat sekali lagi, kita tidak sesekali akan bersama-sama DAP dalam kerajaan. Ini bukan isu emosi atau perkauman, tetapi pendirian politik BN Johor. 

“Saya lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan mereka,” katanya.

BACA JUGA Muafakat Nasional 2.0: Mengapa Umno tidak wajar jadi ‘tayar simpanan’ Pas?