Kritikan buat Onn Hafiz, agenda rakyat lagi penting dari perbezaan politik

Perbahasan mengenai kerjasama antara parti politik kembali menjadi perhatian selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan bahawa beliau lebih rela melepaskan jawatan daripada berada dalam sebuah kerajaan negeri yang melibatkan DAP.

Kenyataan tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.

Mengulas perkara itu, Naib Pengerusi DAP Johor merangkap Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali berpandangan bahawa setiap parti politik mempunyai hak untuk menentukan pendirian dan strategi politik masing-masing.

Namun menurut beliau, fokus utama pemimpin politik seharusnya tertumpu kepada usaha memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pentadbiran yang berkesan, stabil dan berintegriti.

“Keutamaan tertinggi mana-mana pemimpin politik seharusnya bukanlah soal siapa yang duduk semeja dengannya, tetapi bagaimana memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pentadbiran yang berkesan, stabil dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Menurut Sheikh Umar, Malaysia kini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang memerlukan kerjasama merentasi sempadan politik.

Isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, perumahan, pelaburan serta pembangunan infrastruktur memerlukan perhatian dan komitmen semua pihak tanpa mengira latar belakang politik.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat mengharapkan pemimpin menawarkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi, bukannya terus memperbesarkan perbezaan politik yang akhirnya boleh merugikan masyarakat dan negara.

Dalam masa sama, Sheikh Umar melihat pengalaman Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan sebagai bukti bahawa parti-parti yang mempunyai latar belakang berbeza mampu bekerjasama demi menjamin kestabilan negara, memulihkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

Kerjasama sedemikian, katanya, tidak bermaksud semua pihak perlu bersetuju dalam setiap perkara, sebaliknya menunjukkan kematangan politik dalam meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan parti.

Justeru, perbincangan mengenai masa depan Johor wajar berasaskan dasar, prestasi dan tawaran kepada rakyat. Pada akhirnya, kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat tidak ditentukan oleh perbezaan politik, tetapi oleh kesediaan semua pihak untuk bekerjasama demi kepentingan bersama.

BACA JUGA BN Johor habis madu sepah dibuang, dulu masa nak kuasa elok je berkawan DAP