Gempa gegar selatan Filipina, Malaysia sedia hulur bantuan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan kebimbangan mendalam susulan gempa bumi kuat yang melanda perairan selatan Filipina awal pagi tadi, sambil menegaskan Malaysia bersedia menghulurkan apa sahaja bantuan yang diperlukan.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, doa dan ingatan rakyat Malaysia sentiasa bersama rakyat Filipina yang berdepan bencana itu.
“Malaysia berdiri bersama Filipina dan bersedia untuk memberikan apa jua bantuan yang diperlukan,” katanya.
Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan mengambil perhatian terhadap gegaran yang dirasai di beberapa kawasan di Sabah susulan kejadian tersebut.
Menurut beliau, kerajaan sedang memantau perkembangan dengan teliti, manakala semua agensi kecemasan berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Saya memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kerajaan memantau situasi ini dengan rapi dan perkhidmatan kecemasan berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia dan Filipina mempunyai hubungan persahabatan yang erat serta merupakan rakan dalam ASEAN yang sentiasa bekerjasama ketika berdepan cabaran serantau.
Sehubungan itu, Anwar mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua mangsa yang terkesan oleh bencana berkenaan serta berharap mereka diberikan kekuatan dan ketabahan untuk melalui saat-saat sukar.
“Semoga seluruh rakyat Filipina yang terjejas diberikan perlindungan, kekuatan dan keberanian untuk menghadapi hari-hari yang mencabar ini,” katanya.
Kenyataan itu mencerminkan solidariti Malaysia terhadap negara jiran dan komitmen kerajaan untuk membantu sekiranya bantuan kemanusiaan diperlukan
BACA JUGA Putus sudah kerjasama politik Pas dengan Bersatu