RENCANA: Dari PNBest kepada bersepai selepas bakal PM jadi pengerusi
Oleh JAMZURI ARDANI
Tidak sampai satu penggal, slogan #PNBEST yang suatu ketika dahulu membawa naratif “Bersih dan Stabil” kini kelihatan lebih sesuai ditafsirkan sebagai “Bersepai dan Tikam Dari Belakang.”
Malam tadi, Pas secara rasmi memutuskan hubungan politik dengan Bersatu. Sebuah episod yang mungkin menjadi titik perubahan besar dalam landskap politik pembangkang menjelang pilihan raya umum akan datang.
Sudah tentu pelbagai tafsiran boleh dibuat terhadap perkembangan ini. Ada yang melihatnya sebagai strategi politik, ada yang menganggapnya sebagai proses penyusunan semula kuasa, dan tidak kurang juga yang menyifatkannya sebagai krisis kepercayaan dalam Perikatan Nasional.
Namun bagi saya, kesimpulan yang paling ketara ialah Pas merupakan sebuah parti yang sangat sukar untuk kekal lama dalam mana-mana gabungan politik.
Ironinya, tempoh paling lama Pas berada dalam sebuah gabungan politik ialah bersama PKR dan DAP.
Bermula dengan Barisan Alternatif selepas Pilihan Raya Umum 1999, kerjasama itu berkembang menjadi Pakatan Rakyat sebelum akhirnya berakhir pada tahun 2015. Ertinya, hubungan tersebut bertahan hampir 16 tahun.
Bandingkan pula dengan kerjasama Pas bersama Umno melalui Muafakat Nasional yang hanya mampu bertahan sekitar tiga tahun, manakala hubungan politik bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional kini berakhir selepas kira-kira enam tahun.
Jika Pas mampu berkawan selama 16 tahun dengan DAP tetapi gagal mengekalkan hubungan yang lebih lama dengan Umno dan Bersatu, maka secara sinis boleh sahaja dirumuskan bahawa DAP lebih mudah menjadi rakan politik kepada Pas berbanding dua parti Melayu itu sendiri.
Pemikiran eksklusif, Mengapa perkara ini berlaku?
Setiap orang tentu mempunyai analisis tersendiri. Namun pada pandangan saya, ia berpunca daripada pemikiran eksklusif yang begitu kuat dalam kepimpinan Pas, khususnya di bawah Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Naratif yang sering muncul ialah hanya Pas yang paling memahami Islam, paling betul, paling layak memimpin dan paling ikhlas memperjuangkan rakyat.
Hanya Pas yang lebih Islam. Hanya Pas yang lebih baik. Hanya Pas yang lebih benar. Hanya Pas yang lebih kuat. Hanya Pas yang lebih layak memimpin.
Apabila berlaku konflik, pihak lain akan dilabel sebagai pengkhianat atau tersasar daripada perjuangan. Jarang sekali Pas dilihat mengakui kesilapan sendiri.
Atas alasan bahawa dasar parti berteraskan Islam, maka segala tindakan politiknya sering dianggap benar oleh penyokong tegar.
Sikap merasakan diri paling benar dan lebih mulia daripada pihak lain menyebabkan mana-mana kerjasama politik sukar bertahan dalam jangka panjang. Mereka yang mendekati Pas akhirnya akan merasakan bahawa ruang untuk bertolak ansur semakin sempit kerana hanya satu pihak yang dianggap sentiasa berada di pihak yang benar.
Perpaduan Melayu yang rapuh
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Pas kembali memujuk Umno supaya menghidupkan semula Muafakat Nasional atas nama perpaduan Melayu-Islam.
Slogan ini pernah berjaya menyatukan Umno, Pas dan Bersatu sehingga terbentuknya kerajaan yang sering digelar sebagai kerajaan tebuk atap.
Namun realitinya, gabungan itu hanya bertahan sekitar 33 bulan sebelum perebutan kuasa, projek dan jawatan memecah-belahkannya.
Hakikat ini memperlihatkan betapa rapuhnya konsep perpaduan Melayu versi yang mereka perjuangkan apabila berdepan persaingan kuasa dalam kalangan sendiri.
Jika benar matlamat utama Pas ialah memperjuangkan perpaduan Melayu-Islam, maka timbul persoalan mengapa hubungan dengan Bersatu pula diputuskan?
Sudah tentu Pas mempunyai jawapan kepada persoalan tersebut. Tidak ada persoalan yang tidak boleh dijawab oleh Pas. Mereka boleh memberikan pelbagai hujah, mengubah sudut perbahasan atau mengalihkan fokus kepada isu lain. Yang penting, ada jawapan yang diberikan.
Kemungkinan besar Pas tidak akan mengakui bahawa langkah ini turut dipengaruhi oleh perubahan sentimen politik di lapangan.
Pelbagai data dan keputusan pilihan raya mutakhir menunjukkan sokongan pengundi Melayu di beberapa kawasan, khususnya di Pantai Barat Semenanjung, semakin kembali kepada BN dan tidak lagi tertumpu kepada PN seperti sebelum ini.
Pada masa yang sama, naratif UmDAP yang selama ini menjadi senjata politik utama semakin hilang keberkesanannya. Ia tidak lagi mencetuskan reaksi yang begitu emosional dalam kalangan pengundi Melayu sebagaimana beberapa tahun lalu.
Dalam keadaan sedemikian, Pas mungkin melihat bahawa jalan paling realistik ialah membuka semula ruang kerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional.
Dua singa di atas satu bukit
Namun persoalan yang lebih besar ialah, sekiranya kerjasama Pas dan Umno benar-benar menjadi kenyataan, berapa lamakah ia mampu bertahan?
Kedua-dua parti mempunyai sejarah, pengaruh dan cita-cita yang besar.
Kedua-duanya percaya mereka lebih layak memimpin.
Kedua-duanya merasakan mereka memiliki kekuatan yang paling besar dalam politik Melayu.
Akhirnya, persoalan yang perlu dijawab bukanlah sama ada mereka boleh bergabung, tetapi sama ada mereka mampu berkongsi kepimpinan dan kuasa.
Bolehkah dua ekor singa berdiri di atas puncak bukit yang sama?
Bagi ramai pemerhati politik, jawapannya sudah terang lagi bersuluh dan tidak memerlukan analisis yang rumit.
BACA JUGA Jepun kembali jadi pelabur no.1, lebih 50,000 peluang kerja bakal tercipta