103 hari jadi pengerusi PN, Bersatu dakwa Samsuri gagal hingga Pas putus hubungan

Bersatu mendakwa kemelut yang melanda Perikatan Nasional (PN) ketika ini menyerlahkan kelemahan kepimpinan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar, yang disifatkan gagal mengurus serta menyelesaikan konflik dalam gabungan itu.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata sejak Ahmad Samsuri mengambil alih jawatan Pengerusi PN lebih 103 hari lalu, pelbagai pertikaian timbul namun tidak disusuli dengan penyelesaian yang berkesan.

Menurutnya, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Ahmad Samsuri juga dilihat kurang tampil memberikan penjelasan mengenai beberapa isu penting termasuk perkembangan politik di Negeri Sembilan, isu-isu rakyat serta kemelut yang sedang melanda PN.

Mengulas keputusan Pas untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu yang diumumkan malam tadi, Tun Faisal berkata perkembangan itu sebenarnya sudah dijangka dan sekali gus menunjukkan kekangan yang dihadapi Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN.

“Pada masa yang sama, kemelut ini turut menyerlahkan kelemahan kepimpinan dalam PN.

“Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar dilihat gagal memainkan peranan yang berkesan dalam mengurus dan menyelesaikan konflik yang timbul, khususnya apabila melibatkan partinya sendiri.

“Sebagai Naib Presiden Pas, beliau berdepan kekangan untuk membuat keputusan secara muktamad kerana perlu merujuk kepada Presiden Pas dan Majlis Syura terlebih dahulu.

“Keadaan ini menyebabkan banyak isu penting dalam PN tidak dapat diselesaikan melalui saluran gabungan dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Kerjasama politik

Malam tadi, Pas mengumumkan bahawa parti itu menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas meneliti beberapa isu yang timbul dalam hubungan kedua-dua parti.

Pas turut menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat tanpa dipengaruhi sentimen atau kepentingan politik jangka pendek, sebaliknya didakwa demi “penyatuan ummah” dan “kestabilan politik negara.”

Antara isu yang dikatakan menjadi punca ketidakpuasan hati Pas ialah usaha Bersatu yang didakwa cuba menjatuhkan kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun pada 27 April lalu, namun usaha tersebut gagal.

Tun Faisal turut mendakwa beliau difahamkan bahawa pemimpin Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) telah cuba mengadakan pertemuan dengan Ahmad Samsuri bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan terbuka Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, menurutnya, sehingga kini usaha tersebut masih belum menerima maklum balas yang sewajarnya.

“Keadaan ini akhirnya menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan kepimpinan beliau sebagai Pengerusi PN dalam memastikan gabungan itu dapat berfungsi dengan baik, membuat keputusan secara berkesan dan menangani konflik yang timbul dalam kalangan parti-parti anggotanya,” kata Tun Faisal.

Kenyataan itu hadir ketika hubungan antara Pas dan Bersatu memasuki episod baharu, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai masa depan Perikatan Nasional serta hala tuju kerjasama politik dalam gabungan pembangkang itu.

BACA JUGA “Betul ke BN selamatkan PH di Johor?” AMK bentang data tunjuk sebaliknya