Baru cerai Bersatu, kini pujuk Umno? Khairuddin: Apa jaminan Pas tak khianat lagi?”
Seorang pemimpin kanan Majlis Ulama Umno mengingatkan partinya supaya berhati-hati terhadap tawaran kerjasama yang sedang dihulurkan Pas ketika ini kerana bimbang episod pengkhianatan politik akan berulang.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno Malaysia, Khairuddin Aman Razali, berkata kredibiliti Presiden Umno masih menjadi isu yang dipersoalkan dalam usaha menjalin semula kerjasama antara kedua-dua parti.
“Kredibiliti Presiden Umno masih menjadi pertaruhan. Malah kata-kata di belakang tabir ialah mereka mahukan kerjasama Pas dan Umno tanpa Presiden Umno.
“Ini samalah seperti mahukan ahli Bersatu tanpa Presiden Bersatu. Apa jaminan tiada pengkhianatan berulang?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Khairuddin, rakyat sukar untuk meyakini keikhlasan tawaran tersebut apabila hubungan politik antara Pas dan Bersatu yang suatu ketika dahulu begitu erat akhirnya hanya mampu bertahan kira-kira lima tahun sebelum berakhir dengan perpecahan.
“Kalau dulu di saat hubungan baik, pelbagai pujian dilambung tetapi apabila bercerai pelbagai kejian dilontarkan. Ini bukan akhlak Islam,” katanya.
Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas Pusat itu berkata beliau sebenarnya merupakan antara individu yang sejak dahulu memperjuangkan kerjasama antara Pas dan Umno sehingga sanggup meninggalkan Pas kerana tidak bersetuju dengan cara pengurusan parti tersebut.
Namun, katanya, perkembangan mutakhir menimbulkan keraguan terhadap masa depan sebarang kerjasama politik yang ingin dibentuk.
“Pada saat Umno telah menjalin hubungan dengan PKR dan Amanah, ia adalah formula terbaik untuk Umno bangkit di saat tawaran Pas sangat meragukan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Khairuddin turut mengkritik cara Pas menguruskan hubungan politik dengan parti-parti sekutu.
Beliau mendakwa sebarang kerjasama politik sepatutnya dibina atas prinsip kebajikan dan ketakwaan serta mengekalkan ukhuwah Islamiah walaupun berlaku perbezaan atau perpisahan politik.
Sebaliknya, beliau mendakwa budaya saling mengecam dan menghina selepas sesuatu kerjasama berakhir bukan sahaja tidak beretika, malah memberi imej negatif kepada politik yang membawa jenama Islam.
Khairuddin juga mendakwa terdapat campur tangan dalam urusan dalaman parti-parti rakan yang menurutnya pernah berlaku ketika era Muafakat Nasional dan kembali berulang dalam Perikatan Nasional.
Beliau turut mempersoalkan slogan “perpaduan Melayu-Islam” yang sering diketengahkan Pas.
“Jika modal perpaduan Melayu-Islam menjadi jualan, maka apa erti perpaduan Melayu apabila Bersatu baru sahaja diceraikan? Perpaduan Melayu-Islam hanyalah slogan kosong demi politik semata-mata,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih berpendirian bahawa perpaduan orang Melayu dan Islam merentasi parti politik adalah sesuatu yang wajar diusahakan.
Malah, beliau mencadangkan supaya Umno, Pas, PKR dan Amanah duduk semeja bagi mencari titik persamaan demi kepentingan umat dan negara.
“Saya juga pendukung perpaduan Melayu-Islam merentasi parti demi Islam. Sebaiknya Umno, Pas, PKR dan Amanah duduk semeja,” katanya.
BACA JUGA RENCANA: Dari PNBest kepada bersepai selepas bakal PM jadi pengerusi