Tak perlu PH membalas, akhirnya Bersatu-Pas khianat sesama sendiri – Faiz

Bersatu akhirnya merasai sendiri pengkhianatan yang pernah dilakukannya terhadap Pakatan Harapan (PH) enam tahun lalu sehingga menyebabkan tumbangnya kerajaan yang dipilih rakyat.

Setiausaha Agung AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata,  parti itu kini dikhianat pula oleh rakan sekutunya sendiri apabila Pas memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau menyifatkan tindakan saling khianat itu seperti meletakkan pencuri-pencuri di dalam satu rumah.

“Bersatu pernah mengkhianati PH sehingga jatuh kerajaan PH yang dipilih rakyat. Rakyat perlu marah kepada sikap politik sebegini kerana mereka tidak menghormati suara rakyat. 

“Sekarang, Bersatu dikhianati pula oleh Pas. Tidak perlu PH membalas, sesama sendiri yang akan khianat mengkhianati. Seperti meletakkan pencuri-pencuri dalam satu rumah, sudah pasti akan mencuri sesama sendiri. “Two wrongs don’t make a right”,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengimbas kembali sejarah kerjasama politik Pas, Faiz berkata parti itu sebelum ini pernah berganding dengan Umno atas nama penyatuan Melayu, tetapi akhirnya meninggalkan Umno untuk bersama Bersatu atas nama Melayu.

Perkembangan tersebut menimbulkan persoalan sama ada agenda penyatuan Melayu yang sering dilaungkan benar-benar berasaskan kepentingan bangsa atau sekadar percaturan untuk mendapatkan kuasa politik.

Beliau melihat, jika penyatuan Melayu itu benar-benar ikhlas, ia sepatutnya melibatkan semua parti Melayu dan bukannya memilih parti tertentu mengikut kesesuaian politik semasa.

“Jika benar penyatuan atas nama Melayu, sudah pasti ada penyertaan semua parti Melayu. Tetapi ini tidak berlaku, dipilih-pilih parti Melayu mana mengikut selera semasa. 

“Di sini jelas bahawa penyatuan atas nama Melayu hanyalah helah politik untuk memenangi pilihanraya dan seterusnya membentuk kerajaan. Tetapi, stabilkah sebuah kerajaan yang dibina di antara parti-parti Melayu ini?,” soalnya lagi sambil menambah bahawa PH lebih tinggi setiakawan dalam politik berbanding Pas.

BACA JUGA Anak muda Pulau Pinang bosan dah asyik kena fitnah masjid tak boleh azan