Bersatu bakal ambil alih semula pengurusan PN termasuk jawatan pengerusi?
Pas kini berhadapan dengan masalah baharu apabila tersebar maklumat bahawa Bersatu sedang berusaha untuk mengambil alih semula pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Menurut satu sumber, Bersatu sedang berusaha agar Tan Sri Mahiaddin Md Yassin kembali semula menjadi Pengerusi PN menggantikan pengerusi yang ada Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Tan Sri boleh ambilalih pengerusi PN semula sebab sebelum ini perlantikan Dr Samsuri adalah dengan persetujuan beliau.
“Jika Pas sudah ceraikan Bersatu, tidak salah untuk Mahiaddin menjadi pengerusi PN kembali kerana majoriti anggota pimpinan utama PN akan bersama Tan Sri,” kata sumber itu.
Selain Pas dan Bersatu, PN juga dianggotai oleh Gerakan dan MIPP (Parti Rakyat India Malaysia) di mana kedua-dua parti ini lebih condong kepada Mahiaddin berbanding kepimpinan Pas.
“Jika Majlis Tertinggi PN bermesyuarat, besar kemungkinan Gerakan dan MIPP akan menyokong Tan Sri kembali sebagai Pengerusi PN selepas Pas ceraikan Bersatu,” kata sumber itu.
PERPECAHAN PN

PN dianggap pecah apabila rakan kongsi utamanya, iaitu Pas mengumumkan perceraian mereka dengan Bersatu yang dipimpin oleh Mahiaddin.
Ia berlaku selepas 103 hari Pas mengambilalih tampuk pentadbiran PN apabila Samsuri dilantik sebagai pengerusi manakala Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung PN.
Pengumuman perceraian Pas dengan Bersatu diumumkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat 8 Jun lepas.
Tiga hari sebelum itu, iaitu Jumaat 5 Jun, Hadi mengesahkan pemimpin parti itu dan Umno mengadakan pertemuan pada malam sebelumnya, ketika syor supaya Muafakat Nasional (MN) 2.0 dijayakan sedang hangat diperkatakan.
Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun tidak memberi butiran terperinci mengenai lokasi dan tujuan pertemuan tersebut dengan menyifatkannya sebagai ‘pertemuan biasa’.
“Yang nak jumpa kita jumpa. Saya tidak terlibat tetapi (pertemuan) dimaklumkan kepada saya,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di Marang, Jumaat lepas.
Terdahulu, tular gambar dalam media sosial memaparkan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad tiba di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang dikatakan sebagai lokasi Mesyuarat Biro Politik Umno berlangsung.
Ia mencetuskan spekulasi pemimpin kedua-dua parti itu mengadakan pertemuan untuk berbincang mengenai cadangan menghidupkan kembali MN 2.0.
Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, kerjasama politik yang pernah terjalin antara parti-parti Melayu sebelum ini wajar dihidupkan semula demi masa depan bangsa dan ummah.
BUKU MN TELAH TUTUP
Dalam pada itu, semalam 9 Jun, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak sebarang kemungkinan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), gabungan yang pernah dibentuk antara Umno dan Pas.
Ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan gabungan itu dihidupkan semula, Ahmad Zahid menegaskan Umno tidak mempunyai sebarang hasrat untuk mengembalikan MN dalam apa jua bentuk.
“MN telah didaftarkan sebagai sebuah NGO oleh seseorang. Jadi, kita tidak langsung mempunyai niat dan tidak berhasrat untuk menghidupkan semula MN.
“Sama ada 1.0 ataupun 2.0, itu telah berakhir dan kita telah tutup buku,” katanya ketika ditemui media di luar Persidangan Invest Malaysia 2026, 9 Jun di Kuala Lumpur.
“Jika apa yang dinyatakan Zahid itu benar, maka nasib Pas akan sama dengan Tunku Nadzaruddin di Negeri Sembilan. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” kata sumber yang rapat dengan pimpinan Bersatu itu.
Semalam, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, mengumumkan perlantikan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan tidak sah.
“Adalah dimaklumkan bahawa majlis yang dikatakan sebagai ‘Istiadat Pemasyhuran’ Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun 2026 adalah tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.
“Oleh itu, gelaran Yang di-Pertuan Besar yang cuba diambil oleh Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar adalah tidak berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Dengan cuba menerima gelaran yang tidak sah itu, Tunku Nadzaruddin dengan sendirinya telah melepaskan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandangnya.
“Sehubungan itu, tiada lagi penyandang Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar,” tambahnya.
BACA JUGA Tak perlu PH membalas, akhirnya Bersatu-Pas khianat sesama sendiri – Faiz