Rosmah diperintah bayar RM67.5 juta gara-gara 43 barangan kemas Lubnan hilang

Datin Seri Rosmah Mansor diperintahkan membayar RM67.5 juta kepada syarikat barangan kemas Lubnan selepas didapati bertanggungjawab atas kehilangan 43 barang kemas bernilai AS$14.57 juta.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu diperintahkan membayar jumlah ganti rugi atas kehilangan barangan itu kepada Global Royalty Trading SAL dalam tempoh sebulan bermula daripada penghakiman yang diputuskan hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Quay Chew Soon dalam penghakimannya berkata, terdapat ‘prima facie’ bahawa bekas Penaung Permata berusia 74 tahun itu gagal memulangkan kesemua barangan kemas berkenaan kepada syarikat tersebut.

Dalam masa sama, mahkamah turut memerintahkan ibu kepada tujuh anak berkenaan membayar kos RM150,000 iaitu masing-masing RM75,000 kepada plaintif dan pihak ketiga.

Pada 29 Mac 2023, Global Royalty memfailkan saman berjumlah AS$14.57 juta dengan mendakwa Rosmah menipu mengenai status 44 barangan kemas yang sebelum ini diserahkan kepadanya, termasuk kalung berlian, cincin, gelang dan tiara.

Syarikat berpangkalan di Beirut itu mendakwa hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan serta kawalan pihak polis, manakala baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa terbabit.

Global Royalty juga mendakwa Rosmah mengalihkan beban kepada Kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.

BACA JUGA Bersatu bakal ambil alih semula pengurusan PN termasuk jawatan pengerusi?