Kalau berani, bawa usul undi tak percaya : Nabil sindir Akmal ‘kaki ugut’
Naib Ketua AMK Pusat, Nabil Halimi mencabar Ahli Parlimen Umno supaya mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya benar mereka sudah tidak yakin dengan Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, tindakan terus mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan tanpa mengambil langkah melalui saluran demokrasi hanya memperlihatkan politik retorik.
“Jika Umno sudah merasakan tidak dihargai, tiada hati dalam Kerajaan Perpaduan serta tidak percaya kepada kepimpinan PMX, saya mencabar seluruh Ahli Parlimen Umno sendiri mengusulkan undi tidak percaya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat apabila bersidang nanti.
“Amacam, boleh?” katanya dalam satu hebahan media hari ini.
Nabil berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang dikaitkan dengan isu kedudukan Umno dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, kenyataan Setiausaha Politik Anwar di Kementerian Kewangan, Kamil Munim sebelum ini sudah jelas bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan bukanlah hasil “pinangan” Pakatan Harapan terhadap Barisan Nasional semata-mata.
Sebaliknya, katanya, kerajaan dibentuk melalui kerjasama beberapa gabungan politik termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan Ahli Parlimen Bebas bagi memenuhi Titah Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil.
“Saya hairan mengapa Akmal gagal memahami perkara yang begitu jelas. Atau mungkin beliau sengaja buat tidak faham,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyifatkan tindakan mengeluarkan ugutan politik secara berterusan sebagai tidak membantu kestabilan negara.
Menurut Nabil, sekiranya tiada keberanian untuk menguji sokongan di Dewan Rakyat, maka budaya ugut-mengugut itu wajar dihentikan.
“Kalau tidak, teruskan sahaja menjadi ikon kaki ugut negara seperti budak mengamuk tidak mendapat mainan,” katanya.
BACA JUGA Ini puncanya Melayu ketagih sembang perpaduan tapi Cina mara ke hadapan bina kekuatan